Belum reda kontroversi penjualan tiket perlawanan akhir Piala AFF Suzuki 2018, terbaharu muncul sebuah video menunjukkan seorang remaja lelaki memiliki hampir 100 keping tiket untuk saingan yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, pada Selasa ini.
Susulan itu, seorang pengguna Twitter, Khairul Fikri Adnan, membuat laporan polis terhadap remaja berkenaan kira-kira pukul 11 malam tadi di Balai Polis Salak Selatan, Cheras.
Menurut pemuda berusia 26 tahun ini, dia berasa tertipu dan tidak berpuas hati bagaimana remaja lelaki berusia 16 tahun itu boleh mendapatkan tiket dalam jumlah yang banyak dengan mudah.
"Ikut kenyataan yang FAM keluarkan sebanyak 40,000 tiket akan dijual secara online manakala 40,000 tiket lagi akan dijual secara fizikal iaitu di Al-Ikhsan dan juga di stadium.
"Tak tertulis pun tiket itu akan diberikan kepada mana-mana individu. Ini yang saya anggap menipu. Bagaimana perkara begini boleh terjadi?
"Penat-penat saya beratur panjang tetapi tak dapat tiket. Dia pula tak perlu beratur, tak perlu buat apa, tiba-tiba dapat tiket sebanyak itu. Ia tak adil! Bagaimana dia boleh ada 'keistimewaan' untuk dapat tiket sebanyak itu," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Isnin.
Khairul memuat naik bebenang di Twitter meluahkan rasa tidak puas hati terhadap FAM
Sabtu lalu, Khairul memuat naik bebenang meluahkan rasa tidak puas hati terhadap FAM selepas gagal mendapatkan tiket ke perlawanan akhir bola sepak Piala AFF Suzuki edisi 2018.
Ia berikutan sebuah video tular yang menunjukkan seorang remaja lelaki dikenali sebagai Nabil yang memakai pas pelawat FAM, memiliki lebih kurang 100 keping tiket perlawanan akhir bola sepak itu.
"Saya memfailkan laporan polis ini supaya siasatan dapat dilakukan terhadap individu-individu terlibat dalam penyelewengan tiket ini.
"Saya nak FAM cari siapa 'orang dalam' yang terlibat membawa 'keluar' tiket sebanyak itu dikenakan hukuman sewajarnya," katanya.
Selain itu, Khairul turut mendakwa tiket habis dijual kira-kira 30 minit selepas kaunter dibuka pada pukul 10 pagi Ahad.
"Saya beratur dari pukul 8 malam Sabtu lalu sehingga 10 pagi Ahad tapi tiket sudah habis. Saya buat kira-kira. Tiket sepatutnya 36,000 yang dijual di stadium.
"Satu kepala boleh beli 5 tiket shaja. Saya individu yang tak sampai ke 100 pun tetapi tiket sudah habis dijual tidak sampai selepas 30 minit kaunter dibuka. Ini bermakna tiket yang dijual di stadium itu sangat sedikit.
"Rupanya dah sampai ke tangan kroni dahulu," ujarnya.
Netizen turut meluahkan rasa tidak puas hati berhubung isu tiket perlawanan akhir Piala AFF Suzuki 2018
Sementara itu carian mStar Online terhadap akaun Nabil tidak dijumpai dipercayai telah dinyahaktifkan.
Tambah Khairul, FAM diharap dapat menyelesaikan isu ini dan mengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang terlibat membawa keluar tiket berkenaan.
"Masa friendly match penyokong digesa turun ke stadium bagi memberi sokongan kepada Harimau Malaya, tapi bila dah final, jadi begini. Kroni yang diutamakan. Penyokong yang setia daripada awal, diketepikan.
"Saya harap FAM boleh berubah. Ini Malaysia Baharu. Isu kroni sepatutnya sudah tidak wujud.
"Kita sayangkan team Malaysia. Jangan sebab isu ini rakyat boikot bola sepak selepas ini," katanya.
Perlawanan akhir Piala AFF Suzuki 2018, akan menyaksikan Harimau Malaya menentang Vietnam dengan final pertama berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, 11 Disember ini.
- mstar
#CelahGelegar