PORT DICKSON: Calon Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegur Suruhanjaya Pilihan Raya(SPR) dan badan pemantau pilihan raya, Bersih 2.0 berhubung dakwaan beliau melanggar peraturan kerana menghadiri satu konsert Sabtu lepas.
“Kami ikut undang-undang dan peraturan. Kami hormati Bersih dan SPR.
“Oleh sebab itu, mereka tidak harus salah gunakan kuasa. Jangan keterlaluan,” katanya ketika berucap pada satu majlis makan malam di Dewan Regent di Dewan Undangan Negeri Lukut dekat sini.
Presiden PKR dipilih itu hadir ke konsert berkenaan walaupun setelah dinasihati oleh Bersih supaya tidak berbuat demikian. Beliau juga dikritik oleh beberapa pihak lain yang mendakwa ia bertentangan dengan peraturan SPR.
Berikutan itu Bersih menggesa SPR memeriksa tindakan Anwar itu.
Konsert yang dihadiri hampir 2,000 orang itu turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail.
Ia dianjurkan oleh Pertubuhan Khidmat Kebajikan Masyarakat Madani, Kelab Penyokong Anwar dan Muafakat Anak Muda.
Bertempat di PD Waterfront, konsert itu menampilkan artis tempatan seperti M Nasir dan Awie.
Anwar juga mempertahankan dirinya daripada pihak yang mendakwa beliau menggunakan jentera kerajaan selepas dilihat menaiki kereta Menteri Pertahanan Mohamad Sabu.
“Saya mahu bercakap dengan Mat Sabu, tetapi tidak ada masa,” katanya. “Beliau hendak balik, jadi saya menumpang keretanya.
“Bila saya naik keretanya, (orang kata) tak boleh, salah. Tetapi dia tak boleh naik kereta saya juga kerana protokol tentera.
“Saya hanya tumpang kereta dia dari satu tempat ke tempat lain, tapi mereka kata salah. Ini tak jadi,” katanya.
Anwar berkata beliau bersedia menghormati prinsip pilihan raya yang bersih dan adil, sekali gus mengingatkan hadirin bahawa (kos) makanan yang disediakan dalam majlis itu tidak dibayar olehnya.
“Saya calon. Saya dijemput ke sini, tetapi saya tidak bayar (kos) makanan yang disediakan. Harap faham,” katanya.
Ini berikutan laporan Bersih yang menyebut PH melakukan paling banyak kesalahan dalam PRK di Seri Setia dan Balakakong sebelum ini.
PRK Port Dickson merupakan pilihan raya kecil keempat sejak pilihan raya umum 9 Mei, termasuk PRK Dewan Undangan Negeri Sungai Kandis.
Kerusi Parlimen Port Dickson kosong setelah penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah meletakkan jawatan bagi memberi laluan kepada Anwar kembali ke Dewan Rakyat.
Danyal memenangi kerusi tersebut setelah mendapat 36,225 undi mengalahkan calon Barisan nasional VS Mogan yang meraih 18,515 undi dan calon PAS Mahfuz Roslan (6,594 undi).
PRK Port Dickson menyaksikan pertandingan 7 penjuru antara Anwar dengan calon PAS Lt Kol(B) Mohd Nazari Mokhtar dan 5 calon Bebas, termasuk bekas menteri besar Negeri Sembilan Tan Sri Isa Samad; bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan dan personaliti media sosial Stevie Chan. - fmt