Kenyataan Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad yang mendakwa Nabi Muhammad SAW juga pernah tidak menunaikan janji, benar-benar mencetuskan suasana yang hangat.
Selepas dikritik pelbagai pihak, kini giliran Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin pula menegur Menteri Wilayah Persekutuan itu.
Mohd Asri berkata, Khalid sewajarnya menjaga ungkapan serta menyemak dengan teliti nas-nas atau riwayat khususnya apabila mahu berbicara mengenai Rasulullah SAW.
“Berhubung dengan isu apakah Pesuruh Allah Nabi Muhammad SAW pernah terpaksa tidak menunaikan janji baginda untuk membawa para sahabat umrah semasa tahun Perjanjian Hudaibiyah?
“Pertamanya hendaklah kita yakin Nabi Muhammad SAW tidak pernah mungkir janji. Ya, baginda memang pernah berjanji ataupun memberitahu bahawa baginda dan para sahabat akan dapat bertawaf di Ka’abah.
“Namun, baginda tidak pernah memberitahu tahun tertentu.
“Ertinya, tiada sebarang janji Nabi Muhammad SAW dalam peristiwa itu yang tidak tertunai. Bahkan janji baginda tertunai di mana selepas itu baginda dan para sahabat kembali semula menunaikan umrah,” katanya dalam satu menyataan di Facebook.
Terdahulu, Khalid ketika sesi penggulungan di Konvensyen Nasional Amanah 2018 di Hotel Casuarina, Ipoh hari ini mendakwa Nabi Muhammad SAW juga pernah tidak dapat menunaikan janjinya, apatah lagi manusia.
Kata-katanya itu adalah merujuk kepada situasi di mana kerajaan PH sehingga hari ini masih gagal melaksanakan manifesto mereka selepas pilihan raya yang lalu.
Justeru kata Mohd Asri, mana-mana pihak dinasihatkan agar lebih berhati-hati apabila berbicara tentang Rasulullah SAW.
Tambahnya, kekhilafan dalam perkara tersebut boleh menyebabkan kesalahfahaman di kalangan umat Islam dan bukan Islam.
“Ada akidah yang mesti kita percaya bahawa baginda hanya berjanji apa yang Allah khabar kepada baginda. Mustahil Allah mewahyukan sesuatu janji kemudian tidak dapat berlaku.
“Di samping itu, hendaklah kita tahu bahawa di zaman ini dan dalam negara kita ada muslim yang kurang berpengetahuan dan masyarakat bukan muslim yang boleh tersalah faham terhadap Nabi kita Muhammad SAW jika kita tersalah memberikan maklumat.
“Bagi pihak yang tersilap atau tersasul, sila betulkan kenyataan dalam hal berkenaan. Semoga Allah bimbing kita semua,” katanya lagi.
-SuaraTv