Kaum India mesti kekal mengikuti nasihat Pemimpin mereka seperti Tun Sambanthan yang menghormati Tuan Rumah |
2 Rabiulawal 1440H, Sabtu– Pemuda Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) menasihatkan kaum India di negara ini supaya tidak terikut sikap cauvinis Cina, dengan cubaan memutarbelit fakta sejarah dan mempersoalkan mengenai pemilikan asal Tanah Melayu.
Exco Penerangan dan Kajian Pemuda Isma, Muslim Abdullah Zaik berkata, percubaan seumpama itu amat berbahaya, selain boleh menganggu keharmonian kaum.
“Kaum India diingatkan untuk kembali memegang kata-kata nenek moyang mereka yang bersetuju dan mengiktiraf ketuanan orang Melayu.
“Pemuda Isma ingin mengingatkan orang Melayu bahawa percubaan sekelompok orang India mempersoal identiti tanah Melayu merupakan antara simptom kritikal lemahnya kesatuan, ketegasan dan wibawa orang Melayu selaku pemimpin di Tanah melayu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kontroversi penganjuran forum ‘Polemik Penghijrahan Masyarakat India ke Tanah Melayu, Migrasi atau Imigran?’ anjuran Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Semalam, forum berkenaan dibatalkan dipercayai selepas mendapat tekanan dan bantahan daripada segelintir pihak, termasuk Parti Hak Minoriti (Mira).
Ia susulan tindakan parti Mira yang dilaporkan menegur UKM kerana menganjurkan perbincangan berkenaan masyarakat India, dan mempersoal kerana tidak ada penalis dari kaum itu, termasuk mendesak campur tangan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waytha Moorthy.
Forum yang dijadualkan berlangsung pada Rabu ini, tetap diteruskan dengan panelis, tempat dan tarikh yang sama, namun tajuk ditukar kepada ‘Kependudukan dan Pergerakan Etnik di Kepulauan Melayu Dari Perspektif Arkeologi, Budaya dan Sejarah’.