To PA perlu lepas jawatan MP Jeli, menang atas tiket UMNO kabarmalay3.blogspot.com


KOTA BHARU: Pemuda UMNO Kelantan mendesak Datuk Seri Mustapa Mohamed melepaskan jawatan Ahli Parlimen Jeli berikutan tindakannya mengisytiharkan keluar UMNO hari ini.
Ketuanya, Noor Hariri Mohamed Noor, berkata beliau kecewa dengan tindakan bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan itu yang lebih dikenali dengan panggilan Tok Pa.
“Jika betul kenyataan Tok Pa mengisytihar keluar parti, Pemuda UMNO mendesaknya meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Jeli memandangkan beliau dipilih penyokong UMNO dan rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) baru-baru ini.
“Tok Pa tidak seharusnya melakukan tindakan itu, sebaliknya menggunakan pengalamannya selama 40 tahun sebagai ahli bagi membantu UMNO mendapatkan kembali kepercayaan rakyat,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.
Mustapa dalam satu kenyataan hari ini mengumumkan keluar UMNO susulan hala tuju parti itu pada masa kini tidak selari dengan perjuangannya.
Mengulas lanjut, Noor Hariri berkata, beliau masih tidak percaya dengan berita terbabit, memandangkan Mustapa sebelum ini tidak menunjukkan sebarang reaksi, sebaliknya sentiasa positif dengan perancangan yang dibuat Badan Perhubungan UMNO Kelantan setiap kali mesyuarat berlangsung.
“Kebimbangan Tok Pa yang berpandangan bahawa usaha ke arah memulihkan defisit kepercayaan dan imej parti semakin sukar, perlu disuarakan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sendiri.
“Beliau sepatutnya menggunakan saluran yang betul, bukannya bertindak secara melulu seperti ini. Kami sangat kecewa tindakan ini kerana tiada perbincangan dengan Badan Perhubungan UMNO negeri,” katanya.

Subscribe to receive free email updates: