LUMUT: Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) merampas sepasang selipar dipercayai menggunakan kertas mengandungi kalimah syahadah sebagai pelapik bahagian dalamnya, di sebuah hotel di Sitiawan, semalam.
Pegawai Tadbir Agama Islam Daerah Manjung Roslin Om berkata rampasan yang dibuat melalui unit penguatkuasaan Pejabat Agama Daerah Manjung itu dilakukan jam 11 pagi, semalam, selepas mendapat maklumat daripada orang awam.
“Kami memeriksa beberapa pasang selipar namun hanya sepasang sahaja yang menggunakan kertas keras mengandungi kalimah syahadah pada sebelah bahagian dalamnya.
“Selipar yang lain tidak mempunyai ayat suci al-Quran sebaliknya menggunakan gambar kartun,” katanya seperti yang dilaporkan sebuah agensi portal berita.
Roslin berkata perkara itu disedari pelanggan hotel tersebut apabila pelapik selipar yang digunakan terkoyak sehingga mendedahkan bahagian bawahnya yang mempunyai kalimah suci.
“Pengurusan hotel mendakwa tidak mengetahui perkara itu dan mereka turut berasa kesal dengan pihak yang membuat selipar tersebut kerana tidak menjaga sensitiviti masyarakat beragama Islam,” katanya.
Sementara itu, Pengarah JAIPk, Datuk Mohd Yusof Husin ketika dihubungi mengesahkan rampasan dibuat dan memaklumkan pihaknya sudah membuat laporan kepada Kementerian Dalam Negeri untuk tindakan lanjut.
Penggunaan kertas keras mengandungi kalimah syahadah itu turut menjadi tular di laman sosial sejak malam tadi.
Insiden itu dikritik netizen yang menganggap ia cubaan memperlekeh dan tidak menjaga sensitiviti agama Islam dan mahu pihak berwajib membuat tindakan segera.