[PERLIS MASIH BERGOLAK?] Shahidan saman ADUN Kuala Perlis RM10j kabarmalay3.blogspot.com

KANGAR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis, Azam Karap mengakui menerima notis saman bernilai RM10 juta dipercayai berkaitan kenyataannya berhubung isu pelantikan Menteri Besar Perlis sebelum ini.
Azam berkata, saman itu diterima daripada peguam yang mewakili Ahli Parlimen Arau yang juga Pengerusi Perhubungan Barisan Nasional (BN) Perlis , Datuk Seri Shahidan Kassim beberapa hari lalu.
Azam yang kelihatan tenang ketika ditanya berkaitan isu saman terbabit enggan mendedahkan kandungan terperinci namun beliau sudah berbincang dengan peguamnya untuk tindakan balas.
"Saya baharu sahaja menerima saman bernilai RM10 juta daripada peguam Datuk Seri Shahidan Kassim beberapa hari lalu, dan saya sudahpun melakukan perbincangan dengan peguam saya untuk tindakan lanjut.
"Saman terbabit dipercayai ada kaitan dengan laporan polis yang pernah saya buat berkaitan isu pelantikan Menteri Besar Perlis sebelum ini, iaitu merujuk kepada sidang media oleh pihak beliau (Shahidan) yang seolah-olah berbau penghinaan terhadap institusi Raja Perlis," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam majlis meraikan asnaf dan anak yatim anjuran Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Kawasan Kangar di sini, malam tadi membabitkan 100 orang asnaf dari kawasan Parlimen Kangar.
Yang turut hadir, Ahli Parlimen Kangar, Amin Ahmad dan ADUN Kawasan Indera Kayangan Gan Ay Ling.
Menurut Azam, inilah dugaan besar pertama yang harus ditempuhnya sebagai seorang wakil rakyat namun tetap yakin berada di pihak yang benar malah akan dapat menyelesaikannya secara baik.
"Saya sudah lihat surat saman terbabit yang ditunjukkan pihak peguam saya dan akan bertindak dalam tempoh 14 hari seperti yang diberikan pihak yang menuntut," katanya.
Difahamkan notis saman RM10 juta itu susulan tindakan Azam yang membuat laporan polis terhadap Shahidan dan sembilan ADUN BN kerana menghina Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dalam isu perlantikan Menteri Besar negeri itu pada 25 Mei lalu. -Berita Harian

Subscribe to receive free email updates: