PETALING JAYA: Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr Mahathir Mohamad, sekali lagi menegaskan beliau tidak akan membalas dendam terhadap bekas Perdana Menteri Keenam, Datuk Seri Najib Razak.
Bagaimanapun, Dr Mahathir yang akan mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-7 petang ini, menegaskan beliau sedia mengheret Presiden UMNO berkenaan ke muka pengadilan andainya Najib didapati melakukan kesalahan.
"Seperti saya jelaskan semalam kami tidak akan membalas dendam. Kami tidak akan menghukum orang kerana mereka tidak sependapat dengan kami. Bagaimanapun, saya akan pastikan undang-undang akan dikuatkuasakan sepenuhnya di negara ini.
"Sebelum ini Malaysia umpama tiada undang-undang... orang ramai boleh ditangkap kerana mengeluarkan kenyataan membuat laporan mengenai penyelewengan kepada kerajaan.
"Sekarang kita akan mengikut apa yang ditetapkan undang-undang sepenuhnya. Jika undang mengatakan Najib melakukan perbuatan menyalahi undang-undang, dia akan berdepan tindakan undang-undang dan hukuman ditetapkan," katanya ketika sidang media di sini, sebentar tadi.
Sementara itu, Dr Mahathir menyifatkan kenyataan Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali untuk kekal berperanan sebagai penasihat undang-undang kepada kerajaan PH sebagai mengarut.
"Saya fikir apa yang pendakwa awam atau peguam negara kata hari ini berkaitan menasihatkan kerajaan sebagai bullshit," katanya tanpa menyebut nama Apandi secara langsung.
Sebelum ini Apandi berkata, tiada sebarang bukti diperoleh daripada mana-mana siasatan agensi penguat kuasa undang-undang yang menunjukkan dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB) digelapkan. #sumber