PAS Pahang melakar sejarah baru dalam politik di negeri ini, apabila berjaya merobohkan tembok besar BN di kawasan tanah rancangan Felda pada PRU14 lalu.
Ia berikutan, calon-calon mereka berjaya menenangi tiga DUN yang selama ini merupakan kubu kuat UMNO Barisan Nasional. Antara DUN terbabit ialah Luit, Chenor, Jengka dan Panching.
Hanya di DUN Jengka PAS mempunyai rekod kemenangan sebelum melalui calon mereka Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
Di DUN Luit, PAS menang apabila calon mereka Mohd Soffian Abd Jalil menang dengan majoriti tipis 271 undi. DUN ini mempunyai dua buah kawasan Felda iaitu Felda Kg New Zealand dan Felda Bukit Tajau.
Soffian yang merupakan adik kepada bekas calon BN tiga penggal di DUN Luit, Datuk Munawar Abd Jalil berjaya menewaskan penyandang Nurhidayah Muhammad Shahaimi. Soffian mendapat 4,238 undi, manakala Nurhidayah 3,966 undi. Seorang lagi, calon PKR Rosli Amin mendapat 1,582 undi.
Sementara itu ramai yang terkejut apabila DUN Chenor tumbang, apabila calonnya Datuk Mohamed Arifin Awang Ismail ditewaskan oleh calon PAS, Mujibur Rahman Ishak dengan majoriti 514 undi.
Mujibur mendapat 6,016 undi manakala Ariffin, 5,502 undi. Seorang lagi calon PKR, Zuliana Mohamed mendapat 1, 035 undi.
Kubu kuat DUN Chenor ialah Felda Jengka 7 dan Felda Jengka 6. Sementara itu kawasan itu juga menempatkan peti undi Felda Sg.Nerek dan Felda Kg. Awah yang selama ini memberi undi kepada BN di kawasan itu.
Kekalahan dua DUN ini memang sudah dijangka dari awal lagi sebenarnya.
Bagi kerusi DUN Jengka, PAS menang dengan majoriti 1,183 undi melalui calon mereka Shahril Azman Abd Halim. Sahril menewaskan penyandang kerusi DUN itu iaitu Datuk Wan Salman Wan Ismail. Shahril Azman mendapat 8,298 mengatasi Wan Salman yang mendapat 6,485 undi.
Seorang lagi calon ialah dari PKR, Jalani Ludin yang mendapat 1,722 undi.
DUN Jengka merupaka kawasan Felda terbesar yang menyumbang kepada kemenangan BN di kawasan ini sebenarnya.
DUN ini menempatkan Felda Jengka 13, 15, 16, 17, 18, 19 dan Jengka 20. Semua kawasan Felda ini dulunya adalah penyokong kuat BN di kawasan ini. Namun kini sebaliknya.
Bagi DUN Panching pula, PAS menang menerusi calon mereka Pesuruhjaya PAS Kawasan Paya Besar iaitu Mohd Tarmizi Yahaya. Beliau menang dengan majoriti tipis 135 undi sahaja.
Pada pertembungan empat penjuru itu, Tarmizi mendapat 7,143 undi manakala calon BN yang merupakan penyandang Datuk Mohd. Zaili Besar yang mendapat 7,008 undi.
Turut bertanding calon PKR, Kamarzaman Mohamed Yunus mendapat 4,480 undi dan calon bebas Benzin Dagok pula hanya mendapat 42 undi sahaja.
DUN Panching juga merupakan kubu kuat BN apabila menempatkan Felda Panching Utara, Felda Panching Timur dan Felda Panching Selatan.
Ketiga-tiga kawasan Felda ini merupakan aset BN untuk menang setiap kali pilihanraya sebenarnya.
Melihat senario yang berlaku, membuktikan kepada kita bahawa Felda kini sudah tidak boleh dijadikan "Fix Deposit" untuk menyumbangkan undi kepada Barisan Nasional.
Mungkin kerana, peneroka Felda jemu dan bosan dengan berbagai isu yang melanda Felda sekarang ini. Bermula dengan isu FGV hinggalah kepada isu penjualan tanah milik Felda. Semua ini menyebabkan BN ditolak pada PRU14 kali ini. #PDO