Menurutnya, pelbagai fitnah dilemparkan kepada beliau yang disifatkan sebagai serangan bagi menjatuhkan Perdana Menteri secara terbuka.
"Saya nak bagi tahu, saya tak pernah masuk campur hal suami (Najib) terutamanya yang berkaitan dengan kerajaan. Saya tak faham mengapa orang masih mengaitkan saya dalam urusan suami saya.
"Macam-macam cerita orang bercakap pasal saya hinggakan orang takut dengan saya. Tengok sahaja di laman YouTube, macam-macam fitnah ditabur," katanya ketika berucap pada program 'Women Walk The World' di sini hari ini.
Hadir sama Pengerusi Perkumpulan Perempuan Daerah Pekan, Datuk Melati Ali.
Rosmah turut meluahkan rasa kecewa apabila khidmat yang dilakukan suaminya tidak dihargai, malah dipersendakan sesetengah pihak.
"Bagi mereka semua tak betul, kerajaan tak betul, Datuk Najib tak betul, wakil rakyat tak betul. Semua tak tahu betapa penatnya beliau (Najib) setiap hari menguruskan kerajaan.
"Jangan ingat saya kawal dia, tugas saya adalah menjaga suami dan rumahtangga tapi orang tak tahu bahawa suami saya dedikasi. Suami saya lebih jaga rakyat terutama orang-orang di Pekan," katanya.
Dalam pada itu, Rosmah turut mengingatkan agar pengundi di Pekan tidak mudah percaya pada calon 'payung terjun' yang datang mencuba nasib mahu menjadi Ahli Parlimen Pekan.
"Saya berharap orang Pekan tak mudah percaya dengan janji-janji manis yang ditabur sedangkan selama ini Datuk Seri Najib sudah menjaga kebajikan rakyat dengan sebaik mungkin," katanya.