Oleh Wan Anis Ilyani Wan M Azhar & Shuhaniza Said
SHAH ALAM: Walaupun hanya memiliki satu kerusi di Dewan Rakyat ketika ini, PPBM diberikan paling banyak kerusi Parlimen di semenanjung untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Ketua Setiausaha Sekretariat Pakatan Harapan (PH), Datuk Saifuddin Abdullah mengumumkan PPBM akan bertanding di 52 kerusi Parlimen berbanding 51 oleh PKR, DAP (35) dan Amanah (27).
"Maka dengan ini kami bersepakat dan bersetuju dengan muafakat bersama ini sebagai perjanjian yang mengikat parti-parti kami," katanya.
Keputusan agihan kerusi itu dicapai menerusi mesyuarat PH yang berlangsung malam tadi.
Dr Mahathir ketika berucap di Konvensyen PH, petang tadi berkata agihan kerusi di antara empat parti itu berjaya kerana sikap kompromi Amanah.
Beliau dilihat cuba mengambil hati Amanah, khususnya pimpinan Johor parti itu yang memulau Konvensyen PH kerana diberi hanya dua kerusi Parlimen untuk bertanding di negeri berkenaan.
Presiden PH, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga menasihati Amanah khususnya di Johor agar menghormati keputusan yang dicapai pimpinan tertinggi PH demi kelangsungan politik mereka.
Beliau juga menyeru pemimpin serta ahli PH agar tidak mensabotaj calon-calon PRU yang mana akhirnya hanya akan menggagalkan agenda pembangkang untuk menumbangkan Umno Barisan Nasional (BN) pada PRU14.
PH sebelum ini berkata gagasan pembangkang itu tidak tergesa-gesa untuk mengumumkan senarai calon PRU14 untuk mengelakkan 'tumbuk-menumbuk' sesama mereka.