PORT DICKSON: Pemandu lori yang terlibat dalam kemalangan maut membabitkan empat warga Singapura di simpang tiga di Jalan Lukut-Sepang, Port Dickson petang semalam, direman empat hari bagi membantu siasatan.
Perintah tahanan reman sehingga 8 Januari itu dikeluarkan oleh Majistret Siti Khairiah Abd Razak di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Tertuduh berusia 54 tahun itu ditahan bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (JPJ) kerana memandu secara berbahaya dan mendatangkan bahaya kepada orang awam.
Terdahulu, tertuduh yang memakai pakaian lokap polis bewarna ungu dibawa ke perkarangan Kompleks Mahkamah sekitar 8.30 pagi dengan diiringi anggota polis.
Dalam kejadian 2.30 petang semalam, sepasang suami isteri, Rosli Samad, 54 tahun dan Maimunah Sapari, 51 tahun serta dua anak mereka Dayana, 19 tahun dan Nor Amalina, 21 tahun yang merupakan warga negara Singapura maut apabila kenderaan jenis Honda Stream yang dinaiki mereka dirempuh sebuah lori.
Lori yang datang dari arah Sepang, Selangor dikatakan gagal memberhentikan kenderaan lalu melanggar tiga kereta dan sebuah motosikal yang berhenti di lampu isyarat di persimpangan itu.
Pemandu lori berkenaan kemudian menyerah diri kira-kira jam 5.30 petang semalam di Balai Polis Trafik, Port Dickson.
Kemalangan itu turut menyebabkan lima yang lain cedera.