KOTA KINABALU: Tempoh reman Naib Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Peter Anthony disambung empat hari lagi, bagi membantu siasatan berhubung kes pembelian tanah ladang kelapa sawit bernilai RM155 juta di Tongod.
Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, hari ini membenarkan tempoh sambungan reman Peter bermula esok dan berakhir pada Jumaat ini.
Peter, 47, sebelum ini direman tiga hari sejak Sabtu lalu, selepas ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Jumaat.
Perintah sambungan reman terhadap Peter dibuat Majistret Stephanie Sherron Abie, berikutan permohonan dibuat Pegawai Pendakwaan SPRM Sabah, Mohd Faliq Basiruddin, pagi tadi, manakala Peter diwakili peguam Martin Tommy.
Terdahulu, Peter yang memakai baju lokap SPRM tiba dengan diiringi pegawai SPRM, pada kira-kira jam 8.30 pagi, sebelum dibawa ke Mahkamah Majistret dan dibawa keluar pada kira-kira jam 9.50 pagi.
Jumaat lalu, Peter dan seorang lagi individu, ditahan di ibu pejabat SPRM Sabah, di sini selepas disiasat kira-kira tiga jam.
Seorang lagi yang dicari SPRM, Michael Persius Ubu, 61, belum dapat dikesan sehingga kini.
Ini kali kedua Peter ditahan SPRM terbabit selepas kali pertama disiasat bersama-sama 12 individu lain, termasuk Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Kes terdahulu berkaitan penyelewengan dana awam kira-kira RM1.5 bilion yang disalurkan untuk pembangunan luar bandar di Sabah antara 2009 hingga 2015.