Selepas cadangannya agar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dicalonkan sebagai bakal perdana menteri Pakatan Harapan tidak berjaya, Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor berkata Pakatan Harapan (PH) mengambil langkah terkebelakang apabila memuktamadkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri.
Beliau percaya keputusan salah dan kebelakang itu dibuat dakwanya kerana terdapat agenda tersirat dikalangan kelompok tertentu dalam parti-parti gabungan PH menghalang tokoh muda menjadi calon perdana menteri.
“Apabila PH menamakan beliau sebagai calon PM dalam PRU14 saya percaya ianya keputusan salah dan kebelakang.
“Negarawan seperti Tun M seharusnya terus kekal sebagai Negarawan.Tun M pula bukan negarawan biasa.Beliau negarawan ulung dan terbilang.
“Negara perlukan Tun M sebagai negarawan.Bukan kembali menjadi politikus yang ‘oversupply’ di Malaysia ini.
“Negara tidak ramai negarawan.Yang ada pula jarang jarang bersuara membela negara dan melawan musuh negara seperti yang dilakukan Tun M.
“Makanya Tun M kembali menjadi politikus seperti yang lain, menjadi calon dan bergelumang dengan undi di setiap peti undi adalah satu kerugian buat negara.
“Tun M terus fokus menjaga peti negara,kunci khazanah Malaysia bukannya bergelut dengan perkiraan peti undi,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Ezam melalui Parti Generasi Baru berpendapat, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali adalah calon perdana menteri terbaik untuk PH dan mencadangkan ia diumumkan segera.
Parti itu berkata bukan sahaja ‘kecemerlangan’ meneraju Selangor dijadikan sandaran, Azmin juga calon paling kanan dan paling sesuai berdasarkan senario semasa politik tanah air.
Semalam dalam Konvensyen PH diumumkan dalam muafakat gabungan empat parti dalam PH itu menamakan Pengerusi dan Presiden PH sebagai calon Perdana Menteri Tun Dr Mahathi Mohamad dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Ezam yang juga pengasas Angkatan Muda Keadilan (AMK) di awal penubuhan PKR berkata, pimpinan PH membiarkan perkara itu berlaku dakwanya kerana terdapat agenda tersirat dikalangan kelompok tertentu dalam parti-parti gabungan PH.
” Saya hairan bagaimana pimpinan PH membiarkan perkara ini berlaku.Tetapi saya tidak hairan apabila diberitahu ianya berlaku kerana ada agenda tersirat kelompok tertentu didalam PH sendiri yang meletakkan Tun M disitu untuk menidakkan tokoh-tokoh muda yang berpotensi mendudukinya.
“Mereka takut tokoh-tokoh muda ini kalau diberi peluang menjadi kepala perang akan menutup peluang mereka dikemudian hari.
“Sekiranya ini benar berlaku ianya adalah satu perbuatan yang bukan sahaja bodoh tapi khianat kepada perjuangan rakyat,” dakwanya.
Bagi Ezam PH sebenarnya tida ketandusan pemimpin muda sambil beliau menyenaraikan beberapa nama seperti Mohamed Azmin Ali ,Mukhriz Mahathir ,Nurul Izzah Anwar dan ramai tokoh muda lainnya, ujarnya lagi, yang mampu menggalas perjuangan bertempur dimedan,mencatur dan meraih cukup undi dan kerusi untuk tumbangkan BN dan pada PRU ke-14 akan datang.
“Mengapa perlu heret seorang negarawan yang kita perlukan beliau sebagai seorang negarawan?
“Amat malang, disaat negara lain dirantau dan dunia memberikan peluang dan menjulang tokoh muda, putera dan puteri terbaik negara mereka,kita masih ditakuk lama.
“Bukan kerana kita tidak ada tokoh muda yang handal dan kental tetapi kerana permainan politik sempit beberapa kerat yang takut hilang kuasa.
“Lebih malang, mereka yang takut hilang kuasa ini adalah juga dari kalangan yang menggelar diri mereka pejuang rakyat, reformasi dan progresif.
“Sampai bila rakyat Malaysia mahu dinafikan hak mereka mengecapi nikmat perjuangan rakyat dan merasai reformasi sebenar.” soalnya.