Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohamad Azhar
SHAH ALAM: Seorang bekas pimpinan tertinggi PKR hari ini menyifatkan Tun Dr Mahathir Mohamad bijak menggunakan peluang disebalik 'kelemahan' parti-parti komponen Pakatan Harapan (PH) dalam mendapatkan calon perdana menteri.
Bekas Naib Presiden PKR, Mustafa Kamil Ayub berkata, atas faktor itu menyebabkan Dr Mahathir mampu meletakkan dirinya sebagai calon perdana menteri.
Bagaimanapun beliau enggan meletakan keyakinan tinggi terhadap kemampuan Pengerusi PH itu apatah lagi ia hanya bersifat sementara.
"Dr Mahathir bijak memanfaatkan keadaan muafakat parti-parti komponen yang lain yang tidak dapat mengemukakan dengan tegas calon PM, sehingga beliau ambil kesempatan atas ruang yang ada itu.
"Sementara sahaja, itulah keadaan yang ada... Saya tak kata itu yang terbaik, namun itu yang dapat dilakukan seketika oleh PH dalam menghadapi PRU14," katanya ketika dihubungi Antarapos, hari ini.
Menerusi Konvensyen PH yang berlangsung semalam, gagasan itu mengumumkan Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri jika mereka menang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang.
Bekas perdana menteri selama lebih 20 tahun itu akan bergandingan dengan isteri bekas seterunya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai timbalannya.
Namun tempoh perkhidmatan Dr Mahathir hanya bersifat sementara memandangkan gagasan itu akan mengusahakan pembebasan Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan melantiknya sebagai perdana menteri yang seterusnya.
Keputusan itu, bagaimanapun mengundang bibit-bibit kecewa di kalangan pemimpin pembangkang, antaranya Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin yang mempersoal kemampuan pembangkang menamakan calon perdana menteri sementelah partinya telah berjuang lebih 20 tahun.
Mustafa dalam pada itu kurang yakin dengan kemampuan Dr Mahathir untuk meyakinkan kesemua parti-parti pembangkang mengadakan pertandingan satu lawan satu dengan Barisan Nasional (BN).
"Dalam soal menggembleng supaya kita mampu berdepan satu lawan satu dengan BN. Kelihatannya, soal kemampuan dan kesediaannya untuk berbuat demikian.
"Elemen kesabaran beliau untuk menyatukan pembangkang agak kurang dan saya kira, boleh membantutkan kemampuan pembangkang untuk berdepan dengan BN," ujarnya lagi.