Oleh Ainor Rahim
SHAH ALAM: Penganalisis politik meramalkan Pakatan Harapan (PH) sengaja mengurangkan agihan kerusi untuk DAP bagi membuktikan kepada pengundi Melayu bahawa parti itu tidak mendominasi pembangkang selama ini.
Dr Azizuddin Mohd Sani berkata, agenda itu merupakan percaturan pakatan pembangkang sebagai usaha untuk menambat hati pengundi Melayu supaya memberi harapan dan kepercayaan kepada parti teraju Tun Dr Mahathir Mohamad.
"Ada kebimbangan juga untuk pengundi orang Melayu. Sebab PH dia nak sokongan orang Melayu untuk PH. Mereka juga melihat orang bukan Melayu 'swing' dia tak banyak. Jadi selagi DAP boleh 'kunci' undi bukan orang Melayu itu sudah mencukupi bagi mereka. Jadi mereka terpaksa kurangkan dominan sebab sebelum ini nampak DAP agak dominan, agak lantang bersuara kritik dalam parti dan sebagainya.
"Tetapi bila ada PPBM sudah ada, nampak PPBM 'overshadow' mengkaburi peranan dan mengawal DAP. Jadi itu yang jumlah kerusi yang sedikit pun mereka (DAP) boleh terima berbanding PPBM, PKR," katanya ketika dihubungi Antarapos hari ini.
Semalam, PH membuat kejutan apabila PPBM muncul sebagai parti yang diberikan peruntukan kerusi terbesar iaitu 52, sementara PKR mendapat 52, DAP (35) dan AMANAH (27).
Pengumuman itu menimbulkan tanda tanya ekoran PPBM memperoleh kerusi terbanyak sedangkan hanya menyandang satu kerusi di Dewan Rakyat ketika ini, selain baru menginjak usia dua tahun sahaja dalam arena pembangkang.
Pengerusinya Dr Mahathir ketika berucap di Konvensyen PH, walau bagaimanapun tidak menghuraikan rasional pembahagian kerusi itu namun akui Amanah - parti serpihan PAS - banyak bertolak ansur untuk menjayakan rundingan berkenaan.
Pembahagian kerusi itu turut mengundang ketidakpuasan hati Amanah Johor yang bertindak memulau Konvensyen PH kerana diberi hanya dua kerusi Parlimen untuk bertanding di negeri berkenaan.
Dalam pada itu, Azizuddin juga tidak menolak kebarangkalian parti dominasi Cina itu menang kesemua kerusi ditandinginya sekaligus meletakkan parti itu yang paling berkuasa dalam gabungan pembangkang berkenaan.
"Dengan jumlah kerusi yang kecil, mungkin mereka kecil tetapi boleh menang semua. Boleh jadi PPBM bertanding semua itu tidak semestinya menang semua tetapi mungkin menang 20 katakan. Jadi, boleh jadi juga majoriti penyumbang terbesar PH.
"Yang ini masih terlalu jauh, kita tidak boleh nampak keadaan sekarang. Mungkin lepas PRU kita boleh nampak. Sebelum ini macam PKR bertanding paling banyak tetapi sudahnya DAP yang menang banyak. Jadi DAP banyak kuasa penentu, suara yang paling banyak dan sebagainya. Dia paling dominan dalam Parlimen dan ini yang sebabkan PAS tak suka dan keluar," tambahnya.