Suspek cuba serang acara penutup Sukan SEA 2017 mengaku tidak bersalah kabarmalay3.blogspot.com

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki dan adik iparnya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi atas pertuduhan menjadi anggota kumpulan pengganas Abu Sayyaf dan menyembunyikan maklumat berkaitan kumpulan pengganas berkenaan.
 
Warga tempatan Hajar Abdul Mubin, 25, dan adik iparnya Abdul Syamir Dabilin, 25, rakyat Filipina, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Datuk Mohd Sofian Abd Razak.
 
Kedua-dua lelaki yang bekerja sebagai buruh binaan itu dipercayai antara 19 suspek ditahan sebelum ini dalam cubaan melakukan serangan ketika upacara penutup Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017).
 
Mengikut pertuduhan, Hajar yang merupakan perancang utama serangan itu didakwa menjadi anggota kumpulan pengganas Abu Sayyaf mengikut Seksyen 130 KA Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan denda jika sabit kesalahan.
 
Dia yang berasal dari Sabah dituduh melakukan kesalahan itu di ZA 2-14 Lorong Pangsa Baiduri 2, Taman Desa Baiduri, Cheras antara 2010 dan 30 Ogos 2017.
 
Abdul Syamir pula didakwa sengaja menyembunyikan maklumat berhubung kumpulan itu yang mana mereka terikat di sisi undang-undang untuk memberi maklumat tersebut di tempat, waktu dan tarikh sama.
 
Pertuduhan ke atasnya dikemukakan mengikut Seksyen 130M Kanun Keseksaan, membawa hukuman penjara maksimum 7 tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
 
Mohd Sofian menetapkan 11 Januari depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan lantikan peguam.
 
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Azlina Rasdi.
 
Media sebelum ini melaporkan polis mematahkan rancangan kumpulan pengganas di negara ini yang dipercayai penyokong IS dalam cubaan melakukan serangan ketika upacara penutup KL2017 dan Perbarisan Hari Kebangsaan 2017 di Dataran Merdeka.
 
 

Subscribe to receive free email updates: