Semak semula gaji, elaun anggota PDRM untuk banteras rasuah kabarmalay3.blogspot.com

 Semak semula gaji, elaun anggota PDRM untuk banteras rasuah



Ahli Parlimen Batu Gajah, V. Sivakumar menggesa kerajaan menyemak semula struktur gaji dan elaun-elaun anggota Polis DiRaja Malaysia (PDRM) sebagai salah satu usaha melawan rasuah di negara ini.

Katanya, kerajaan perlu menyediakan kemudahan perumahan, keselesaan tempat bekerja serta memperkenalkan elaun-elaun baharu selaras dengan beban tugas yang semakin bertambah.

“Keyakinan rakyat terhadap pasukan PDRM adalah penting. PDRM harus memastikan tahap integriti anggota-anggotanya berada pada paras yang paling tinggi.


V Sivakumar

“Tetapi, rakyat sudah mula berasa sangsi terhadap kewibawaan pasukan PDRM menyelesaikan kes-kes yang ditanganinya. Sering kali kita mendengar bahawa si mangsa sesuatu kejadian jenayah tidak mahu membuat laporan polis,” kata Sivakumar dalam satu kenyataan semalam.

Kata beliau, orang ramai pula tidak mahu mendedahkan kepada pihak polis mengenai sesuatu jenayah berat seperti aktiviti pengedaran dadah di sesuatu kawasan kediaman.

“Begitu juga, terdapat hubungan erat di antara anggota PDRM dengan kumpulan kongsi gelap di tempat-tempat tertentu. Kegagalan polis melenyapkan perjudian haram seperti mesin kuda menjadi satu tanda tanya.

“Semua ini membuktikan bahawa kewibawaan dan integriti PDRM telah susut di kaca mata rakyat jelata. Apakah puncanya? Adakah semua ini berlaku kerana amalan rasuah yang berleluasa di kalangan pegawai tertinggi sehingga ke peringkat bawahan PDRM?

Katanya lagi, dalam satu jawapan Parlimen, Menteri Dalam Negeri telah mengeluarkan statistik penglibatan anggota PDRM dalam gejala rasuah. Menurut laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi tahun 2016, hanya 187 kes atau 0.15% daripada keseluruhan anggota PDRM yang terlibat dalam amalan rasuah.

“Menurut Menteri lagi, penglibatan anggota dalam kes sedemikian lebih terdorong kepada desakan peribadi yang ingin hidup mewah, berbelanja di luar kemampuan seperti membeli kereta, pakaian dan perabot rumah yang berjenama dan mahal menyebabkan pendapatan dan perbelanjaan menjadi tidak seimbang.

“Saya tidak tahu sama ada statistik yang dikeluarkan itu benar atau tidak. Tetapi, orang ramai boleh menilai perangkaan itu berdasarkan pengalaman masing-masing dengan pihak PDRM.

“Niat saya bukan untuk menuding jari terhadap mana-mana pihak. Yang penting, kita harus kembalikan nama baik dan kewibawaan pasukan polis kita. Imej PDRM perlu ditingkatkan pada paras terunggul berbanding dengan agensi-agensi kerajaan yang lain.

Kata beliau, kerajaan harus mencari jalan untuk menghapuskan amalan rasuah dalam kalangan anggota-anggota PDRM.

“Adakah rasuah ini disebabkan gaji kakitangan PDRM yang rendah dan tidak lagi kompetitif dengan suasana kehidupan kini?

“Kerajaan perlu sedar tentang peningkatan kos sara hidup masa kini yang membebankan anggota PDRM. Selagi masalah ini tidak diberi perhatian serius, gejala rasuah dalam kalangan anggota PDRM yang berterusan dan tidak boleh dikawal dengan mudah,” kata Ketua Sekretariat Pakatan Harapan Perak itu.

Subscribe to receive free email updates: