Rangka manusia 6,000 tahun ditemui di Gua Chawan Kelantan kabarmalay3.blogspot.com

Rangka remaja perempuan zaman batu pertengahan ditemui penyelidik UKM, UPSI, pegawai arkeologi

KUALA LUMPUR, 9 Rabiulakhir 1440H, Isnin – Rangka manusia zaman Mesolitik atau zaman batu pertengahan dianggarkan berusia 6,000 sehingga 8,000 tahun, dijumpai di tapak Gua Chawan, Lembah Nenggiri, Kelantan pada 2 November lalu.

Rangka manusia dipercayai seorang remaja perempuan itu ditemui penyelidik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bersama pegawai Bahagian Arkeologi, Jabatan Warisan Negara (JWN) dan penyelidik Jabatan Sejarah, Universiti Pendidikan Sultan Idris semasa menjalankan ekskavasi arkeologi di gua berkenaan.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi berkata penemuan itu amat penting bagi arkeologi negara dalam memberi fakta baharu tentang amalan pengebumian dan budaya kehidupan zaman prasejarah di Malaysia.

“Rangka ini dipercayai remaja perempuan berdasarkan tulang pelvis yang dijumpai pada rangka tersebut. Ia (rangka) dikebumikan dengan bahagian kaki dilapik dengan batu kapur serta bahagian kepala juga dilapikkan dengan batu kapur.

“Tangan kanan memegang makanan berupa siput serta alat memotong rumput. Terdapat juga batu pengisar-menumbuk yang diletakkan di bahagian kaki sebagai alat iringan si mati,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Mohamaddin berkata rangka manusia prasejarah itu telah dibawa keluar dari Gua Chawan pada 10 Nov lalu dan kini ditempatkan di makmal sementara konservasi JWN dalam tempoh 60 hari untuk tujuan rekod dan pemuliharaan.

Katanya sampel gigi dan cengkerang siput akan dihantar ke Beta Lab di Amerika Syarikat untuk memperoleh tarikh kronometrik.

Tambahnya penemuan tersebut amat bermakna bagi merungkai budaya masyarakat primitif dan kehadiran manusia prasejarah di sekitar Lembah Nenggiri, Ulu Kelantan.

“JWN dengan kerjasama Kerajaan Negeri Kelantan juga akan mengumpulkan semua penemuan artifak untuk dijadikan bahan rujukan sejarah dan warisan negara serta dipamerkan kepada umum setelah proses konservasi selesai, ” kata Mohamaddin.

Dalam pada itu, ketika diminta mengulas tentang rancangan mengubah suai logo Visit Malaysia 2020 yang pernah menimbulkan kontroversi sebelum ini, Mohammadin berkata pihaknya sedang mempertimbangkan untuk membuat perubahan kecil dengan mengambil kira faktor kos.

Sudah tentu dengan mengubahnya kita perlu merasmikan yang baharu, kalau merasmikan yang baharu menggunakan banyak wang, persoalannya adakah ia berbaloi?.

“Jika melibatkan jumlah wang yang kecil (sikit) untuk mengubahnya jadi kita akan buat. Kita fikirkannya,” katanya.

Sebelum ini, logo Visit Malaysia 2020 yang dilancarkan sempena ASEAN Tourism pada awal Januari 2018 di Chiang Mai, Thailand oleh bekas Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri menerima respons negatif daripada netizen. – Bernama

Subscribe to receive free email updates: