Pemuda AMANAH Nasional mengingatkan Umno supaya tidak memanipulasi agama untuk dijadikan penyelesaian kepada isu kenaikan harga barang yang menjadi beban serta kemarahan rakyat negara ini.
Kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam Perhimpunan Agong Umno (Pau) 2017 di PWTC kelmarin bahawa Allah menentukan harga barang berdasarkan sepotong hadith adalah satu kenyataan yang terdesak oleh Umno bagi mengekang kemarahan rakyat terhadap kenaikan harga barang dengan memanipulasi agama, kata Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Faiz Fadzil dalam satu kenyataan semalam.
“Hadith tersebut yang dibaca Datuk Seri Hamzah Zainudin yang bermaksud “Sesungguhnya Allah, Dialah yang menetapkan harga, menyempit, meluaskan dan memberi rezeki. Sesungguhnya aku benar-benar berharap untuk bertemu Allah dalam keadaan tidak ada seorang pun yang menuntut kepadaku berkenaan sesuatu kezaliman pada darah dan harta”.
“Jelas daripada hadith tersebut prinsip Islam adalah keadilan di mana Rasulullah SAW menyebut tentang membersihkan diri daripada kezaliman,” kata beliau.
Menurut Faiz, tadbir urus kerajaan yang salah dan korup serta penuh pembaziran dan ketirisan hari ini menyebabkan kantung negara menjadi kering dan akhirnya kerajaan terpaksa mengenakan pelbagai cukai regresif daripada poket rakyat terutama GST yang telah menyebabkan kenaikan melambung harga barang.
Skandal korupsi institusi dana awam terutama 1MDB katanya lagi, telah menyebabkan kehilangan kepercayaan pelabur asing yang telah mendorong kejatuhan nilai ringgit mengakibatkan harga barang menjadi mahal kerana kebanyakan harga barang diimpot.
Bukankah ini kezaliman kepada rakyat akibat kepincangan tadbir urus kerajaan Barisan Nasional? soal beliau.
“Kenaikan harga makanan pada kadar 26 peratus dengan kadar pengangguran meningkat 3.5 peratus adalah keadaan yang menunjukkan kehidupan rakyat yang semakin terhimpit dengan kelemahan ekonomi di dalam negara.
“Harga runcit minyak yang dijual tinggi adalah ditetapkan oleh kerajaan Barisan Nasional. Kekayaan negara dibolot kroni-kroni pemimpin negara tetapi rakyat pula dipaksa membayar hutang negara. Jadi, siapakah yang mengurus ekonomi negara, Najib atau tuhan?
“Datuk Seri Hamzah Zainudin seharusnya memahami lebih banyak dalil dan nas lain yang memerintahkan sesebuah kerajaan untuk menjaga kebajikan rakyat,” tambah Faiz.
Seterusnya kata beliau, pemimpin adalah pelindung kepada rakyat dan bukannya penindas. Dalam surah Saba’ ayat 15, Allah menyebut tentang “baldatun thayyibatun wa rabbun ghaffur” yang bermaksud negara yang makmur dan pengampunan tuhan.
“Adakah korupsi dan penyelewengan diredhai Allah bagi mendapatkan pengampunan tuhan? Adakah sebuah negara dianggap makmur jika rakyat dihimpit kesusahan akibat kenaikan harga barang?
“Sebaiknya, Datuk Seri Hamzah Zainudin meletakkan jawatan sebagai menteri dan belajarlah ilmu agama di mana-mana pondok,” katanya.
Beliau turut menyeru para ilmuan agama agar bangkit membetulkan kenyataan Datuk Seri Hamzah Zainudin ini supaya agama tidak lagi dimanipulasi untuk menutup kezaliman.
“Kesucian agama Islam tidak boleh dicemari sebegini rupa sehingga boleh menghilangkan penghormatan rakyat terutama penganut agama lain kepada agama rasmi negara ini,” tambah beliau.