PERIBAHASA Melayu sudah terhantuk baru terngadah sudah tidak sesuai lagi dalam isu yang melanda Malaysia Airlines Berhad (Malaysia Airlines).
Ini kerana Malaysia Airlines sudah berkali-kali terhantuk malah pernah sampai peringkat ‘ICU’ dan diselamatkan tetapi bagaikan terkena badi, syarikat penerbangan itu tidak terlepas daripada cabaran demi cabaran.
Selepas satu persatu kemelut timbul – Malaysia Airlines sekali lagi menjadi tumpuan selepas Ketua Pegawai Eksekutifnya, Peter Bellew dimaklumkan oleh Bursa London akan menyertai Ryanair.
Ryanair adalah syarikat penerbangan tambang murah milik Ireland.
Meskipun Bellew memberi alasan keputusan tersebut atas dasar khidmat negara.
Tetapi kenyataan bela diri itu belum cukup menutup rasa tidak puas hati rakyat Malaysia yang mengikuti perkembangan Malaysia Airlines.
Pelbagai spekulasi timbul selepas Malaysia Airlines mendakwa hanya mengetahui mengenai tindakan Bellew itu apabila Ryanair membuat pengumuman di Bursa Saham London.
Entah bilalah episod ‘ranjau’ dalam Malaysia Airlines akan berakhir.
Walaupun Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) mendakwa pelan pemulihan syarikat penerbangan itu berjalan mengikut rancangan tetapi apabila perkara-perkara yang tidak terduga ini muncul, ia menyebabkan imej dan reputasinya tercalar.
Biar pun prestasi Malaysia Airlines bertambah baik tetapi pemulihan itu masih jauh untuk mencapai tahap kegemilangannya suatu ketika dulu.
Realitinya, Khazanah terus dipersalahkan kerana terpaksa mengambil ‘orang luar’ untuk menerajui Malaysia Airlines walaupun keputusan itu ditentang oleh pelbagai pihak.
Tidak tahulah sejauh mana sukarnya Khazanah mencari calon-calon tempatan sehingga firma itu terpaksa melakukan pencarian global yang akhirnya kecundang.
Christoph Mueller meninggalkan Malaysia Airlines setahun lalu dan kini Bellew yang dilantik pada 1 Julai tahun lalu melepaskan jawatan tersebut.
Kini, media-media sekali lagi mencanang tentang beberapa calon baharu Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines. Timbul pelbagai nama termasuklah Tan Sri Tony Fernandes.
Inilah tipikal Malaysia. Kita lupa semasa AirAsia Berhad bercadang untuk mengambil alih 20.1 peratus kepentingan MAS melalui penggabungan strategik pada tahun 2011, ramai yang menentang keras khususnya kesatuan-kesatuan sekerja MAS dan parti-parti politik.
Pelbagai hujah dilemparkan – bukan sahaja aspek monopoli bisnes, risiko pengurangan pekerja tetapi turut dikaitkan dengan semangat patriotisme.
Dek sibuk membantah, kita terlupa ketika itu AirAsia juga adalah syarikat penerbangan milik rakyat Malaysia.
Sumber kuat dalaman AirAsia sendiri pernah menyatakan cadangan penggabungan strategik tersebut sekadar usaha Fernandes untuk mengembalikan semula sayap MAS yang semakin ‘terjunam’ ketika itu.
Senang cakap, idea itu merupakan satu khidmat negara Fernandes kepada MAS.
Logiklah. Mana mungkin Fernandes memiliki kesemua kepentingan MAS kerana ia adalah aset strategik kerajaan. Kerajaan sendiri merupakan ‘golden shareholder’ dalam MAS.
Akhirnya idea itu terpaksa dibatalkan.
Tetapi hari ini sekali lagi nama Fernandes disebut oleh Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin sebagai tokoh yang sesuai menerajui Malaysia Airlines.
Ternyata pandangan beliau tidak silap.
Berbanding pelbagai nama yang disebut-sebut media, Fernandes adalah salah seorang tokoh penerbangan yang diiktiraf. Kewibawaannya sudah terbukti. Lihatlah kedudukan AirAsia sekarang!
Cuma, penulis tertanya-tanya sudikah Fernandes mengambil tawaran tersebut walaupun demi khidmat negara tatkala ketika ini AirAsia semakin terbang tinggi.
Lagi pun, pengasas bersama AirAsia itu pernah berkata: “Saya tidak perlu lagi ambil pil darah tinggi apabila rancangan pertukaran saham tidak diteruskan,” kata Fernandes selepas cadangan penggabungan strategik AirAsia-MAS dibatalkan pada Jun 2012.
Memetik kenyataan bekas Pengarah Urusan MAS yang pertama, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman kepada MalaysiaGazette tiga hari lalu, apa pun langkah Khazanah dan Malaysia Airlines selepas ini, imej dan reputasi negara perlu diutamakan.
Ia mengambil kira kedudukan Malaysia Airlines yang merupakan simbol kepada Malaysia.
“Mungkin Khazanah tidak suka dengar tetapi saya mahu ulangi lagi. Dulu, ketika MAS baru ditubuhkan kami semua bukan bijak pasal penerbangan pun. Yang kami pertaruhkan hanyalah keikhlasan dan semangat cintakan negara, itu sahaja.
“Malaysia Airlines tidak perlu kuasa luar biasa untuk mengurus dan mengendalikan syarikat penerbangan itu. Ia sama dengan syarikat-syarikat lain. Yang penting jujur, ikhlas dan amanah. Kalau berpegang kepada prinsip ini, Insya Allah, Malaysia Airlines berjaya,” ujarnya sebak. – MalaysiaGazette