Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tiada kepentingan ketika menjalankan siasatan berhubung sesuatu kes.
Ketuanya, Datuk Dzulkifli Ahmad berkata, SPRM hanya memastikan negara ini bersih daripada pengkhianat amanah rakyat.
Menurutnya, sesiapa sahaja yang terlibat dengan rasuah dan salah guna kuasa akan diambil tindakan tanpa rasa gerun serta gentar.
“Kami tidak hairan dan mengambil berat tekanan diberikan. Insya-ALLAH kita akan ambil tindakan sewajarnya dalam siasatan sama ada kepada ahli politik, penjawat awam, ahli korporat atau individu yang terlibat dengan rasuah tanpa gentar,” katanya kepada pemberita pada sidang media di bangunan baharu SPRM di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Dzulkifli menegur tindakan sesetengah pihak terlibat dalam siasatan SPRM yang membuat kenyataan media secara terbuka.
“Saya ingin memberi amaran mana-mana individu yang ingin membuat kenyataan akhbar berkaitan kes mereka secara langsung atau tidak ketika siasatan dijalankan SPRM, akan dianggap satu kesalahan.
“Saya selepas ini tidak teragak untuk ambil tindakan terhadap mana-mana individu yang melakukan perkara tersebut,” katanya.
Beliau berkata, sepatutnya mana-mana individu yang berasakan mereka mempunyai keterangan yang boleh membantu siasatan, tampil kepada pihaknya untuk diambil keterangan.
Katanya, sekiranya mereka yang terlibat dalam siasatan SPRM masih berdegil untuk ‘memberi keterangan di media’ mereka itu boleh dikenakan hukuman di bawah seksyen 48 (H) Akta SPRM, 2009.
“Jadi saya nasihat semua pihak supaya tidak memberi apa-apa komen kerana kes siasatan perlu dibuat melalui SPRM, bukan media. Oleh sebab kita lihat perkara itu sebagai gangguan kepada siasatan kes,” katanya.
Terdahulu berlangsungnya upacara menurun dan menaikkan bendera SPRM bersempena beroperasinya gerak kerja SPRM di bangunan baharu.
Bangunan baharu SPRM yang terletak di Lebuh Wawasan, Presint 7, di sini beroperasi secara rasmi hari ini.