'Neraka’ keluarga angkat, tak boleh lari kerana tiada IC kabarmalay3.blogspot.com

 
Seorang jagaan rumah kebajikan menceritakan nasibnya di tangan keluarga angkat selepas diabaikan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
 
 
wanita_mykard_rumah_yatim_600new23


PETALING JAYA: Nizha (bukan nama sebenar) hampir membunuh dirinya sendiri kerana hilang tempat mengadu. Gadis ini terlalu takut untuk melaporkan nasibnya di tangan keluarga angkat kepada polis kerana tidak mempunyai kad pengenalan.

“Saya cakap pada mereka kalau dera saya lagi saya nak buat laporan polis, tapi mereka kata tiada siapa yang akan percaya sebab saya tiada identiti diri,” kata Nizha, kini berusia 27 tahun.

Satu-satunya bukti Nizha dilahirkan di negara ini ialah sijil kelahirannya, dan disimpan oleh ibu bapa angkatnya, pasangan doktor pakar mata dan pakar jantung.

“Mereka cakap kalau saya keluar dari rumah bukan hidup baik-baik sebab tiada ada identiti diri, nak kerja susah jadi pelacur sahaja.

“Disebabkan geram saya lawan cakap mereka: ‘Baik jadi pelacur daripada terseksa macam ini’.”
Nizha ditemubual pemberita susulan timbulnya isu mengenai kehidupan bekas anak jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang tidak mempunyai taraf kewarganegaraan yang sah.

Hanya tahun ini, pada 28 September lalu, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengumumkan akan mengeluarkan kad pengenalan diri sementara kepada bekas jagaan mereka yang menghadapi masalah itu, bagi membantu mereka mencari pekerjaan atau mendapatkan bantuan kecemasan selepas meninggalkan rumah kebajikan.

“Kali terakhir saya bertemu pihak JKM apabila saya diserahkan kepada keluarga angkat,” kata Nizha.

Beliau khuatir bekas penghuni JKM lain mengalami nasib sama.

Gadis ini diletakkan keluarga kandung di rumah kebajikan kerana masalah kewangan dan dijaga JKM sejak kecil. Sepanjang di bawah jagaan JKM, Nizha pernah menetap di Arau, Kuantan dan Cheras.

“Sepanjang saya tinggal dengan keluarga angkat, pihak JKM tidak datang walaupun sekali melawat saya, kalau tidak saya boleh mengadu segala masalah saya.”
 Basuh tahi anjing

Nizha hidup bersama keluarga itu selama 2 tahun sejak 2008. Gadis ini diambil pasangan itu selepas sahaja keluar dari rumah kebajikan ketika usia 18 tahun.

Setiap hari beliau akan bangun seawal 4.00 pagi untuk mencuci kereta keluarga angkatnya. “Lepas itu basuh tahi anjing…kasi anjing makan.”

“Selama saya tinggal dengan mereka, mereka selalu hina saya. Macam-macam dia maki saya. Bila saya nak makan mereka cakap jangan makan banyak. Kalau tengah buat kerja rumah, mereka marah-marah kata kerja tidak bersih.

“Mereka juga fitnah cakap saya pukul anak dia sedangkan ketiga-tiga anak dia saya jaga dari kecil…tahi dia pun saya basuh.”

Nizha juga dihalang keluar rumah. Kerana terlalu kerap suarakan hasrat mahu merasai dunia luar, keluarga angkatnya berkata akan memotong rambutnya.

“Saya cakap pada mereka saya nak balik rumah kebajikan semula…tapi mereka kata pada saya tiada siapa yang mahu percaya saya.”

Bagi Nizha, tinggal bersama keluarga angkat rasanya lebih perit daripada dibuang keluarga sendiri.

“Mula-mula ingat nak lari, tapi bila saya fikir balik kad pengenalan tidak ada saya batalkan hasrat itu. Saya pernah nak panjat bangunan rumah nak bunuh diri sebab terlalu tertekan.”

Lawan sampai bebas

Tanpa tempat mengadu dan tidak mahu mengambil nyawanya sendiri, Nizha nekad menderhaka sehingga dilepaskan.

“Selepas mereka tidak tahan saya asyik melawan, mereka tinggalkan saya dekat Pudu. Mereka bagi saya RM2,000 dan mereka cakap ini gaji saya selama 2 tahun tinggal dengan mereka.”

Apa yang keluarga angkatnya beritahu kepadanya mengenai kepayahan hidup tanpa kad pengenalan dirasai sendiri oleh Nizha.

“Saya terpaksa mencari macam-macam kerja sebab nak sara diri…macam mana nak bagi kerja kalau tidak ada kad pengenalan?”

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi berkata dalam 11 tahun sejak 2006 sehingga 30 Jun tahun ini, terdapat 543,363 anak dilahirkan dengan status “tidak sah taraf” di negara ini.

Status itu diberikan terhadap anak dilahirkan dalam perkahwinan yang tidak mengikut peraturan dan juga anak luar nikah untuk pasangan Islam. Status itu turut diberikan terhadap anak yang tidak diketahui identiti ibu bapanya.

LIHAT VIDEO DI SINI

 

Subscribe to receive free email updates: