1MDB: Kerajaan Tak Bertanggung Jawab 'Tutup Fail' Siasat Jho Low ! kabarmalay3.blogspot.com

PETALING JAYA: Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan tindakan kerajaan yang dilaporkan menutup fail siasatan berkaitan ahli perniagaan, Low Taek Jho atau Jho Low, tidak bertanggungjawab.
Beliau berkata, kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi semalam yang polis Malaysia menutup fail dan tiada lagi permintaan daripada Interpol mengenai kes itu, perlu dijelaskan.
Bekas timbalan perdana menteri itu yang dipecat daripada jawatannya pada Jun 2016 berkata, 2 penjelasan bertentangan Zahid semalam mengenai status Jho Low mengelirukan.
“Amat memalukan bila mana seorang timbalan perdana menteri membuat kenyataan di Parlimen, sama ada kenyataan beliau itu benar ataupun beliau tidak bercakap benar untuk menjelaskan jawapan kepada ahli Parlimen Gombak.
“Jadi ini suatu perkara yang harus dijelaskan dan saya fikir disebabkan siasatan Interpol dikatakan oleh Datuk Zahid itu sudah selesai, tak ada penemuan apa-apa, maka kes itu ditutup, itu satu tindakan amat tidak bertanggungjawab,” katanya dalam rakaman video dimuat naik ke Facebooknya hari ini.
Beliau berkata, ada keperluan untuk memastikan jika kerajaan pusat, Kementerian Dalam Negeri atau polis yang membuat permintaan rasmi bagi mendapatkan bantuan Interpol untuk menahan Jho Low serta membawanya ke Malaysia untuk didakwa dalam kes yang dikatakan ada kaitan dengan 1MDB.
Semalam, pejabat Zahid mengeluarkan kenyataan menafikan laporan berdasarkan jawapannya di Parlimen pada sebelah pagi yang polis Malaysia mendapatkan bantuan Interpol untuk mengesan kedudukan Jho Low.
Menurut kenyataan itu, jawapan timbalan perdana menteri terhadap soalan tambahan Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Azmin Ali pada sidang Dewan Rakyat pagi semalam jelas menyatakan tiada kes untuk disabitkan.
Berdasarkan rakaman video sidang Dewan Rakyat semalam, Zahid dilaporkan menjawab soalan Azmin dengan berkata: “Mengenai kes itu, kita memang telah mengemukakan permintaan kepada Interpol untuk mencari di manakah orang yang telah dimaksudkan oleh Yang Berhormat Gombak.
“Dan kita amat yakin bahawa pihak Interpol bertindak secara profesional dan PDRM masih belum memperolehi sebarang maklumat terperinci daripada pihak Interpol.
“Namun, kita yakin apa yang telah dilakukan oleh beberapa pihak di peringkat antarabangsa, terutamanya agensi perisikan telah dimuktamadkan dan kita yakin kes itu tidak lagi relevan, kecuali yang dibangkitkan oleh ahli-ahli politik yang tidak puas hati dengannya,” kata menteri dalam negeri itu di Dewan Rakyat semalam.
Hari ini, Azmin berkata, beliau akan berbincang dengan rakan Pakatan Harapan lain sama ada akan merujuk Zahid ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana menafikan kenyataannya berhubung bantuan Interpol untuk mengesan Jho Low.
Pada 12 Julai lalu, pendakwa raya di Singapura dilaporkan berkata, Jho Low ialah watak utama dalam siasatan berkaitan 1MDB dan beliau menggunakan wang yang boleh dikesan kepada dana milik kerajaan itu untuk tujuan peribadi.
Jho Low menerima sejumlah wang yang “amat besar”, dengan kira-kira AS$1 bilion (RM4.3 bilion) untuk 1MDB laburkan dalam usaha sama dengan PetroSaudi International Ltd dilencongkan ke akaun bank miliknya. #sumber

Subscribe to receive free email updates: