Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dilihat menggunakan peluang berucap di depan lebih 5,000 penjawat awam pelbagai peringkat semalam untuk menyerang pihak pembangkang.
Menurutnya, fitnah pembangkang terhadap penjawat awam bermakna turut menghina secara langsung pihak kerajaan dan begitu juga sebaliknya.
“Oleh sebab itulah, kita sama-sama berasa amat tersinggung dan marah apabila terdapat sesetengah pihak khususnya dari pembangkang, yang sesuka hati menuduh kononnya perkhidmatan awam di negara ini sebagai ‘bloated civil service’ yakni sudah terlebih bilangannya,” kata Najib.
Presiden Umno itu berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Kelima Belas (MAPPA XV) bertemakan Aspirasi Perkhidmatan Awam Menuju TN50: Penyampaian untuk Kesejahteraan Rakyat di Putrajaya semalam.
Menurutnya, pihak pembangkang bahkan tergamak melabelkan penjawat awam dan memberi tanggapan negatif selain menyelar secara semberono bahawa perkhidmatan awam sebagai ‘tidak cekap’ dan ‘makan gaji buta’.
“Dan sungguh keterlaluan, apabila ada pemimpin pembangkang sanggup menghina penjawat awam sebagai ‘kucing kurap’.
“Bayangkanlah tuan-tuan dan puan-puan, apa akan terjadi kepada untung nasib sebahagian besar penjawat awam, sekiranya pembangkang dibiarkan memerintah negara ini?
“Sanggupkah tuan-tuan dan puan-puan mempertaruhkan masa depan sekalian dan anak cucu keturunan kita kepada pihak yang sedemikian ini?” soalnya.
Najib kemudiannya mengaitkan dengan ajaran agama dan nilai patriotik sebelum menuntut penjawat awam agar memastikan kerajaan sedia ada yang dikuasai partinya dipertahankan.
“Jadinya, seperti yang saya sebutkan di awal ucapan tadi, hatta ajaran agama pun menuntut agar kita bersyukur dengan nikmat yang sedang dikecapi dan tidak secara mudahnya, kita patut membiarkan tanah air bertuah ini jatuh ke tangan mereka yang tidak menghargai sumbangan dan susah payah para penjawat awam,” ujarnya.
Walau bagaimanapun, dalam usaha menangkis dakwaan Malaysia sebuah negara gagal, individu yang pernah disahkan menterinya sendiri sebagai Malaysian Official 1 (MO1) berhubung skandal mega 1Malaysia Development Berhad (1MDB) itu kembali menyerang pembangkang.
“Seandainya, benar penjawat awam ini tidak cekap seperti dituduh, mana mungkin kita mampu memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” tegas Najib sebelum menyenaraikan beberapa projek yang menjadi ikon pentadbirannya sejak lapan tahun lalu.
Antara yang disebutkannya, projek Pusat Transformasi Bandar (UTC), Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) dan Klinik 1Malaysia manakala Projek Infra Rakyat MRT Laluan Sungai Buloh-Kajang dianggap Najib sebagai ‘success story’ kerana projek dibiayai secara langsung oleh kerajaan itu menjimatkan RM2 bilion daripada kos asal pembinaan.
Najib kemudiannya bertanyakan mana mungkin UTC yang menyediakan Pusat Khidmat Sehenti beroperasi dari pukul 8 pagi hingga 10 malam, tujuh hari seminggu dan tiada lain seumpamanya di dunia jika Malaysia sebuah negara gagal.
“Pihak tidak bertanggungjawab khususnya pembangkang tidak habis-habis menabur fitnah, menghasut dan memesongkan pemikiran dengan membuat tuduhan demi tuduhan yang tidak berasas, dengan niat yang jahat untuk menjatuhkan kerajaan yang ada secara tidak demokratik.
“Mereka juga menuduh kononnya, Malaysia adalah ‘a failed state’, yakni negara yang gagal dan bakal menjadi bankrap serta kedaulatan negara sedang dijual kepada beberapa kuasa besar asing seperti China, India dan Arab Saudi,” hasutnya.
Terbaharu, tambah Najib, pembangkang menuduh kerajaan hendak menggadaikan negara kepada Amerika Syarikat ketika Malaysia menjalinkan hubungan baik dan perdagangan dengan kuasa dunia itu.
“Bahkan, kalau betul dakwaan (Malaysia sebuah negara gagal) pembangkang itu berasas, kenapa pula kedudukan rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia kini bertambah mantap lagi kukuh kepada RM431.7 bilion berbanding hanya lebih kurang RM60 bilion sewaktu krisis kewangan Asia tahun 1997/1998?” soalnya lagi.
Sebelum mengakhiri ucapannya yang turut disiar sebanyak dua halaman penuh di akhbar Utusan Malaysia hari ini, Najib pada ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) semakin hampir mengumumkan tentang adanya beberapa “khabar gembira” kepada seluruh penjawat awam dalam Bajet 2018.
“Saya faham, ramai yang ternanti-nanti akan pengumuman-pengumuman tertentu. InsyaAllah, beberapa khabar gembira dan penambahbaikan untuk semua penjawat awam akan diumumkan dalam Bajet 2018 pada 27 haribulan Oktober ini nanti,” jamin Najib.