Mana penyelesaian kes liwat, dera kanak-kanak JKM, NGO tanya menteri kabarmalay3.blogspot.com

 
 
Pertubuhan Kebajikan dan Sosial Malaysia mahu kementerian mendedahkan 'penyelesaian' kepada dakwaan isu liwat dan penderaan seksual kanak-kanak di rumah Jabatan Kebajikan Masyarakat.


khairul-perbak-3


PETALING JAYA: Pertubuhan Kebajikan dan Sosial Malaysia (Perbak) mahu kementerian mendedahkan “penyelesaian” kepada dakwaan isu liwat dan penderaan seksual kanak-kanak di rumah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Presiden Perbak Muhammad Khairul Hafiz Abdullah berkata Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat kini perlu menyatakan bagaimana mereka tegakkan keadilan untuk mangsa dan melindungi keselamatan kanak-kanak di bawah jagaan JKM.

“Macam mana menteri kata kes ini sudah lama selesai sedangkan tindakan dibuat pada 2017 dengan hanya memindahkan kakitangan terbabit bukannya mengenakan hukuman berat,” katanya kepada FMT hari ini.

“Malah berdasarkan maklumat saya dapat pegawai yang melakukan liwat hanya dipindahkan ke pusat jagaan lain pada tahun 2017 dan pegawai yang meyumbat halia ke dalam kemaluan kanak-kanak tidak diambil tindakan sehingga beliau pencen.”

Beliau berkata kementerian perlu memberitahu orang ramai apakah tindakan yang sudah diambil, seperti yang diumumkan Menteri Datuk Seri Rohani Abdul Karim hari ini.

Terdahulu Rohani berkata pihaknya sudah mengambil tindakan berhubung dakwaan kes liwat dan penderaan seksual membabitkan sebuah pusat jagaan kanak-kanak bawah JKM di Melaka.

“Saya telah membuat nota kabinet untuk menerangkannya, banyak perkara sebenarnya sudah ditangani. Kita menambah baik juga apa (dakwaan) yang sebut-sebutkan dan banyak penambahbaikkan sejak 2012,” katanya pada sidang media.

FMT pada 29 September lalu melaporkan Khairul mendakwa terdapat bukti perbuatan liwat dan penderaan seksual itu.

Khairul juga mendakwa polis mahupun JKM tidak mengambil tindakan terhadap pelaku yang merupakan seorang warden berusia lebih 50 tahun walaupun beberapa laporan polis dibuat sejak 2009.

Khairul mengingatkan menteri bahawa pendedahan isu itu bukan untuk menjatuhkan mana-mana pihak, cuma mahukan pembelaan untuk jagaan JKM dan hukuman setimpal kepada pelaku.

“Pihak kami tidak akan berhenti membangkitkan isu ini sehingga si pelaku dikenakan hukuman yang setimpal.”

Telan hakikat pahit

Beliau berkata demikian apabila Rohani meminta media untuk tidak menularkan video dari 2012 itu, yang merakamkan pengakuan seorang pelaku “kerana ini cerita lama ditularkan semula”.

“Orang tak tahu mereka ingat perkara baru…pegawai saya banyak ‘down’, saya kena naikkan semangat mereka,” kata Rohani.

Khairul berkata pihaknya tidak menyalahkan sepenuhnya pentadbiran Rohani, lebih-lebih lagi kerana banyak perubahan yang dibuat kepada anak-anak jagaan JKM sekarang.

Khairul menambah beliau sedia mendedahkan lagi bukti yang ada padanya untuk membantu menyelesaikan isu ini.

“Saya bukan tidak kesian kepada pegawai yang tak terlibat, tapi lebih kesian pada anak-anak yang menjadi mangsa,” katanya.

“Saya berterima kasih pada menteri kerana dah mulakan langkah namun janganlah dinafikan dan buat cerita kononnya dah selesaikan isu,” tambahnya.

Beliau berkata jika kementerian sedia menelan hakikat “walaupun pahit”, Perbak mahu bekerjasama dengan kementerian dan agensi kerajaan lain.

“Jangan senarai hitamkan Perbak. Perbak juga ingin kuasa untuk melawat mana-mana institusi JKM yang bermasalah, sama seperti layanan istimewa yang JKEB dapat.”

Perbak dan JKEB (Pertubuhan Bekas Penghuni Institusi-Institusi Dibawah JKM) adalah NGO yang bernaung di bawah JKM.

Subscribe to receive free email updates: