Mahkamah beri peluang ibu jatuh hukuman anak kabarmalay3.blogspot.com

THE MALAYSIAN TIMES
 


KOTA BHARU: Mahkamah Majistret Kota Bharu memberi peluang kepada seorang ibu untuk menjatuhkan hukuman terhadap anaknya hari ini.

Majistret Nik Habri Muhamad memberi peluang itu kepada Rahimah Abdul Rahman, 52, sebagai pengajaran kepada anaknya, Adam Abdullah, 28, selepas tertuduh bertindak melakukan ugutan jenayah terhadap ibunya dengan mengacukan sebilah gunting bermaksud hendak menakutkan mangsa.

Adam dituduh melakukan kesalahan itu di Kampung Terap Banggu di sini, pada pukul 9.30 pagi,19 Jun lepas dan didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara selama dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Nik Habri memberi peluang kepada tertuduh yang tidak diwakili peguam untuk membuat rayuan terhadap hukuman yang bakal dijatuhkan terhadapnya.

Adam dalam rayuannya memohon maaf kepada ibunya dan berjanji untuk tidak mengulangi kesalahan sama pada masa depan.

Nik Habri kemudian memanggil Rahimah ke sebelah kandang tertuduh bagi memberi penghormatan kepada mangsa untuk menjatuhkan hukuman kepada tertuduh.

“Saya beri penghormatan kepada mak kamu untuk hukum kamu. Makcik jangan takut kepada anak.
Makcik boleh mohon nak hukuman berat atau ringan dan saya akan pertimbangkan,” katanya.

Rahimah bagaimanapun memaafkan kesalahan anaknya dan meminta mahkamah menjatuhkan hukuman ringan terhadap anaknya sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama satu tahun dari tarikh tertuduh ditangkap.

Dalam hujahnya, Nik Habri berkata kes berkenaan diharap dapat dijadikan pengajaran kepada tertuduh serta orang lain agar menghormati ibu masing-masing.

“Saya serius dengan kes begini. Kamu bernasib baik kerana mak kamu minta hukuman ringan. Ada kes lain saya bagi hukuman penjara maksimum lima tahun.

“Kalau kamu ulangi kesalahan sama saya akan kenakan hukuman berat. Kerana menghargai permintaan mak kamu, saya hukum kamu dengan penjara 12 bulan,” katanya.

Kes berkenaan dikendalikan Timbalan Pendakwa raya Hamidah Mahmood.–Bernama

Subscribe to receive free email updates: