Kerajaan akui pelaburan merosot kabarmalay3.blogspot.com


SUDAH banyak tahun dan banyak kali saya memberi amaran mengenai suasana serta keadaan pelaburan yang mungkin tidak lestari di negara kita.

Boleh kata setiap kali perangkaan rasmi dan tidak rasmi mengenai pelaburan dikeluarkan, saya akan beri amaran agar kita tidak terlalu gembira dengan 'berita baik' itu.

Saya sering mengingatkan mengenai perbezaan projek pelaburan yang diluluskan dengan pelaksanaan sebenar kerana ada projek yang diluluskan tetapi tidak dilaksanakan.

Saya juga memberi amaran, manakala projek-projek baru yang diluluskan belum tentu akan dilaksanakan, projek-projek sedia ada sama ada menguncup, berpindah ke negara lain atau ditutup terus.

Hari ini kalau kita memandu melalui kawasan-kawasan kilang di negeri perindustrian seperti Selangor, Pulau Pinang, Perak dan Johor kita akan mendapati banyak bangunan kilang telah ditinggalkan.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, banyak pelabur asing yang sudah bergiat di negara kita berpuluh tahun lamanya, sama ada telah menutup perniagaan atau berpindah ke negara lain.

Antara faktor menyebabkan mereka berbuat demikian adalah pertubuhan ekonomi negara yang tidak cukup tinggi, prospek masa depan yang tidak meyakinkan dan kenaikan kos pengeluaran.

Saya tidak berani mengatakan sama ada pihak bertanggungjawab terhadap pelaburan, khususnya Kementerian Perdagangan Antarabangsa (Miti) dan Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (Mida) ambil langkah secukupnya bagi menangani isu penuaan industri ini.

Yang jelas ialah perhatian Miti dan Mida dalam beberapa tahun kebelakangan ini terlalu tertumpu kepada rundingan Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) yang sudah pun kecundang akibat penarikan diri Amerika di bawah Presiden Donald Trump.

Bertahun-tahun usaha dan belanja yang besar nampaknya hangus begitu saja. Sejak awal lagi saya mencurigai kebergunaan TPPA dan menyuarakan kebimbangan kepada menteri berkenaan, Datuk Seri Mustapa Mohamed, dalam sesi-sesi dialog yang beliau adakan dengan pengamal media massa.

Kebimbangan yang saya suarakan sekian lama nampaknya makin menjadi kenyataan. Kadar pelaburan baharu jatuh dengan teruk dalam separuh pertama tahun ini.

Pada 19 Oktober media melaporkan kadar kelulusan pelaburan baharu bagi enam bulan pertama tahun ini jatuh 28.2 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Menurut Mida, pelaburan yang diluluskan bagi semua sektor bernilai RM65.4 bilion yang terdiri daripada 2,294 projek yang boleh mewujudkan 61,930 pekerjaan jika dilaksanakan sepenuhnya.

Apa yang lebih membimbangkan ialah kejatuhan paling teruk iaitu sebanyak 41 peratus dideritai oleh sektor perkhidmatan yang berupa pemacu utama ekonomi negara sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Kejatuhan sektor ini pula berkait rapat dengan kelembapan pasaran hartanah. Saya sudah sekian lama memberi amaran mengenai pertumbuhan sektor hartanah yang tidak lestari dan bahaya 'ekonomi buih' yang dicetuskannya.

Kita lihat projek hartanah, sama ada kediaman, ruang niaga atau pejabat, tumbuh ibarat cendawan muncul selepas hujan, tetapi tidak cukup pelanggan sama ada kerana kegiatan ekonomi yang tidak cukup rancak atau harga terlalu tinggi.

Keadaan ini akan menjadi semakin buruk dengan lebih banyak projek hartanah raksasa dimajukan di tapak-tapak seperti Tun Razak Exchange, Bandar Malaysia, Iskandar Malaysia dan cadangan Bandar Warisan Dunia di Melaka.

Atas sebab itulah saya berulang kali memberi amaran kepada Permodalan Nasional Berhad (PNB) agar tidak terikut-ikut dengan kegilaan memajukan projek hartanah raksasa, khususnya cadangan projek Merdeka PNB 118 di ibu negara.

Pengurusan PNB yang ada pada hari ini mungkin berasa bangga melaksanakan projek pencakar langit itu. Tetapi jika sesuatu yang buruk berlaku kepada PNB, yang akan menderita adalah Bumiputera, khususnya yang melabur skim saham amanahnya.

Dalam kenyataan media, Mida berkata pelaburan dalam sektor pengilangan pun jatuh juga, sebahagiannya disebabkan oleh pengaliran modal kepada projek-projek raksasa seperti Rapid di Pengerang, Johor.

Saya kurang yakin dengan alasan ini. Yang lebih ketara ialah kita tidak dapat lagi bersaing dengan negara-negara jiran dalam sektor pengeluaran.

Mida sendiri mengakui hal ini terutamanya daripada sudut kos tenaga buruh. Justeru saya tidak dapat berkongsi keyakinan dengan Mustapa buat masa ini bahawa keadaan akan berubah dalam jangka masa singkat.

Sebaliknya kita mungkin mengalami krisis kebolehpercayaan dan keyakinan yang lebih teruk buat beberapa bulan akan datang.

Seterusnya keadaan ini akan menjejaskan keyakinan pengguna dan pengusaha untuk berbelanja. Tanpa perbelanjaan yang secukupnya, ekonomi sebenar akan terus lembap.

Wallahuaklam.

* Datuk A Kadir Jasin, Tokoh Wartawan Negara

Subscribe to receive free email updates: