Oleh Ainor Rahim
KOTA DAMANSARA: Lebih seratus orang memenuhi perkarangan Masjid Kota Damansara, Petaling Jaya di sini bagi menyuarakan bantahan mereka berkenaan penganjuran pesta arak di Selangor.
Mereka bertakbir sambil memegang sepanduk dan kain rentang antaranya bertulis "Arak Perosak Akhlak" dan "Kami Benci Pesta Arak" sebagai tanda bantahan, yang diadakan kira-kira jam 1:45 tengahari, selepas solat Jumaat.
Wakil Pertubuhan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Muslim Care, Muhammad Nazmi Karim dalam ucapannya berkata, penganjuran pesta seumpama itu secara jelas melangkaui kedudukan agama Islam sebagai agama persekutuan.
"Ini negara kita, tanah kita. Negara ini ada agama rasmi iaitu Islam. Islam lebih tinggi dan tidak ada satu agama pun yang melangkauinya.
"Kita tidak sekat orang bukan Islam untuk makan apa sahaja tetapi biar beradab. Dalam rumah itu hak kamu, tetapi sampai buat pesta itu kurang ajar. Cabar sensitiviti orang Islam.
"Saya nak pesan pada non-muslim. Jaga adab kamu dengan kami. Jangan biarkan kami orang Islam ambil tindakan. Kami ada had kesabarannya," katanya.
Perlu ada tindakan tegas
Pada masa yang sama, Muhammad Nazmi turut menyelar pihak yang dilihat tidak mengambil tindakan tegas untuk menolak pesta minuman keras berkenaan daripada diadakan di Selangor.
"Kalau tuan tak rasa sensitif penghinaan ini, kebiadapan ini. Kita tidak berani nak cakap, tak berani nak komen tak berani nak buat demonstrasi, dibimbangi akan turun bala. Allah akan turun pada kita," tambahnya.
Susulan itu, satu memorandum turut diserahkan kepada Balai Polis Kota Damansara menuntut tindakan yang selaras dengan arahan tegas yang telah ditetapkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Imam II Masjid, Muhammad Najih Irshad Ahmad Puad memaklumkan antara kandungan memorandum berkenaan adalah menuntut Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaksanakan penguatkuasaan 'menyekat' pesta arak menerusi lunas undang-undang sedia ada.
Diantaranya, kita mengesyorkan PDRM mengambil tindakan dan memantau pihak Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) terutamanya MBPJ supaya akur dengan arahan, tidak meluluskan permohonan baru. Permohonan mereka yang cuba untuk mengadakan pesta ini diadakan di tempat lain khususnya di Selangor," tegasnya.
Dalam perkembangan terbaru, berkaitan pesta berkenaan, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK), Datuk Mohamad Yasid Bidin ketika dihubungi Antarapos mengesahkan, pihaknya menerima arahan Ibu Pejabat Polis Daerah Klang supaya tidak mengeluarkan kepada penganjur pesta Centro Mall German Food & Beverages Festival.
Ia menyatakan polis tidak menyokong permohonan penganjur iaitu Centro Properties Group Sdn. Bhd., atas tiga sebab iaitu ancaman keselamatan atau militan, sensitiviti masyarakat dan bantahan masyarakat.
Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pula dalam kenyataan terbarunya kepada media berkata pesta yang membabitkan minuman keras berkenaan, yang dijadualkan berlangsung di Klang pada 12 dan 13 Oktober ini boleh diteruskan sekiranya menepati syarat yang ditetapkan.
Ujarnya, penganjuran festival itu yang sebelum ini dikenali sebagai Oktoberfest dan melibatkan penjualan arak tidak mendatangkan masalah kepada kerajaan negeri namun perlu memenuhi syarat PBT.
Sebelum ini, beberapa himpunan juga diadakan di masjid lain di Selangor, membawa mesej yang sama dengan harapan pesta seumpama itu tidak diadakan sekiranya terdapat cadangan untuk dianjurkan di sini, selain turut menuntut campur tangan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah campur tangan.