Oleh Ainor Rahim
SHAH ALAM: Keputusan sama ada wakil rakyat parti Amanah Khalid Samad akan meninggalkan kerusi Parlimen Shah Alam dan buat julung kalinya bertanding di Johor dijangka dimuktamadkan esok.
Selain tidak menolak kenyataan Timbalan Presiden Salahuddin Ayub, Khalid Samad berkata perkara berkenaan merupakan salah satu percaturan Pakatan Harapan (PH) atas dasar memenangi sebanyak mungkin kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.
"Dia sahkan (dan) tidak menolak kemungkinan saya bertanding di Johor.
"Mungkin esok akan dimuktamadkan. Mungkin esok.
"Selesa itu bukan matlamatnya. Matlamatnya ialah untuk memenangi sebanyak mungkin kerusi untuk boleh membentuk kerajaan diperingkat persekutuan," katanya ketika dihubungi Antarapos hari ini.
Mengulas lanjut, Khalid yang juga merupakan Pengarah Komunikasi Amanah berkata beliau akur dengan apa jua keputusan yang bakal diputuskan dan rela melepaskan kerusi Shah Alam yang kini disandangnya, atas dasar strategi gabungan pembangkang tersebut.
"Maka kalau dianggap saya bertanding di tempat lain boleh menyumbang satu kerusi tambahan. Maka, saya harus mengambil tanggungjawab untuk memenangkan kerusi itu. Nak tambah kerusi, bukan kita berjuang untuk nak selesa. Kalau nak selesa bukan berjuang lah tu.
"Kita nak tengok kalau mana kita boleh sumbang supaya kita dapat lagi banyak kerusi. Kalau Shah Alam ini kalau kerusi selamat dan pengundi di sini (Shah Alam) akan sokong calon yang bawa mesej PH. Kalau dianggap, saya boleh menyumbang untuk dapatkan satu lagi kerusi kita tak menang lagi di tempat lain. Saya kena pergilah," tambahnya.
Terdahulu, ura-ura bahawa Khalid mungkin bertanding di Johor pada PRU14 bakal menjadi kenyataan selepas Salahuddin mengesahkan parti tidak menolak langkah itu dalam usaha memuktamadkan beliau bertanding di Johor.
Bagaimanapun, Salahuddin memaklumkan Majlis Presiden PH masih belum memuktamadkan kerusi yang bakal ditandinginya.
Peletakan Khalid di negeri berkenaan turut bakal menyaksikan kemungkinan pertembungan dengan abangnya, Tan Sri Shahrir Samad yang kini menyanding kerusi Parlimen Johor Bharu.
Bagaimanapun Salahuddin berkata, Amanah perlu berunding dahulu dengan PH kerana kerusi Johor Bahru merupakan milik PKR.
Dalam sidang media yang sama, Salahuddin turut tidak menolak Presidennya, Mohamad Sabu akan menjadi calon untuk bertanding di Shah Alam bagi menggantikan Khalid.