KOTA BHARU: Pelbagai jenis dokumen dan wang tunai dilarikan penjenayah selepas Pejabat Umno Bahagian Kubang Kerian di Jalan Hilir Pasar dipecah masuk.
Kejadian itu hanya disedari pada jam 8 pagi tadi selepas salah seorang pekerja di pejabat itu tiba di pejabat dan mendapati pintu kaca di hadapan bangunan dipecahkan dan pintu jeriji diumpil.
Pegawai Teknologi Maklumat di pejabat itu, Che Azrul Shazwan Che Johan berkata biliknya berselerak dengan pelbagai dokumen bertaburan di atas lantai.
“Saya memeriksa lima lagi bilik di tingkat dua pejabat itu mendapati wang tunai juga telah dilarikan oleh suspek.
“Cuma yang menimbulkan tanda tanya ialah komputer riba yang berada di pejabat tidak dilarikan suspek,” katanya.
Ketua UMNO Bahagian Kubang Kerian, Datuk Seri Muhammad Abdul Ghani memaklumkan pejabat berkenaan sudah dipecah masuk dua kali dalam tempoh setahun ini.
“Saya percaya suspek memasuki pejabat ini malam tadi hingga awal pagi. Kita akan meningkatkan aspek keselamatan memandangkan banyak dokumen disimpan di pejabat ini," ujarnya.