GEORGE TOWN: Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib digelar Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai 'keturunan katak' kerana kembali kepada Umno.
“Mat Tyson (Muhammad) ni keturunan katak, dia pasti lompat, lompat dari Umno pergi PAS, lompat ke PKR, la ni dia lompat sekali lagi ke tempurung Umno... saya hairan berapa banyak dedak yang ada dalam mulutnya,” kata Dr Mahathir ketika berucap di hadapan sekitar 4,000 orang yang berhimpun pada majlis anjuran DAP Pulau Pinang di sini malam tadi.
Memetik laporan FMT, Dr Mahathir mendakwa langkah Muhammad untuk kembali kepada Umno semula sebagai satu pembaziran masa.
Selepas Umno, Muhammad juga pernah menyertai PAS dan PKR sebelum diumumkan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak pada minggu lalu tentang penyertaan semula Muhammad.
Dr Mahathir menerusi ucapannya juga menyindir sidang media Najib yang kononnya untuk turut mengumumkan penyertaan beberapa pemimpin PKR Selangor ke dalam Umno.
“Najib berharap untuk mendapatkan wakil PKR melompat ke Umno dengan Mat Tyson, tetapi mereka tidak hadir. Dan Selangor masih berada di bawah PKR dan PH,” kata beliau.
Muhammad dalam reaksinya minggu lalu mendakwa perjuangan pembangkang tiada matlamat malah PKR juga gagal memartabatkan kepentingan untuk kaum Melayu.