Tiga Beranak Meninggal, Kereta Di Rempuh Lori Pasir Di Kampung Soi kabarmalay3.blogspot.com


KUANTAN: Tiga beranak maut manakala seorang lagi ahli keluarga itu parah selepas kereta dinaiki dirempuh sebuah lori pasir yang terbabas di Jalan Sungai Soi berhampiran Kampung Soi di sini, petang semalam.

Ketika kejadian kira-kira jam 5.25 petang itu, pemandu kereta jenis Proton Iswara, Tuan Mohd Zulhazize Tuan Temeran, 38, dari Kampung Peramu di sini dan ibunya, Kelsom Hamat, 66 yang berada di tempat duduk penumpang belakang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Manakala suami Kelsom, Awang Ariffin, 76, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di wad kecemasan Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) kira-kira jam 8 malam hari yang sama.

Sementara itu, seorang lagi penumpang, Zuraidah Samshuddin, 34, cedera parah dan dihantar menerima rawatan ke HTAA.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaa Trafik Pahang, Superintendan Mohd Noor Yusof Ali berkata, identiti pemandu lori yang dilaporkan menghilangkan diri selepas kejadian belum dikenal pasti bagaimanapun usaha mengesannya masih dijalankan memandangkan tiada laporan dibuat setakat ini.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke unit forensik HTAA untuk proses bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga untuk proses pengebumian.

“Siasatan awal mendapati kemalangan melibatkan kereta dan lori pasir jenis Hino ibu berlaku ketika empat sekeluarga terbabit dalam perjalanan dari arah Kuantan menghala ke Pekan.

“Apabila sampai di lokasi kejadian,  lori  yang datang dari arah Pekan menghala ke Kuantan dipercayai hilang kawalan lalu terbabas memasuki laluan dan  bertembung dengan kereta dinaiki mangsa,” katanya.

Mohd Noor berkata, akibat  kemalangan itu, pemandu dan penumpang belakang, meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi mangsa penumpang belakang meninggal dunia  ketika menerima rawatan.

“Kita dapati, kemalangan dipercayai  berpunca daripada pemandu lori yang dipercayai gagal mengawal kenderaan sehingga terbabas masuk ke laluan bertentangan menyebabkan kemalangan berlaku.

”Pihak polis telah mngenal pasti pemilik lori dan telah panggil bagi membantu siasatan untuk  kenal pasti pemandu terlibat,” katanya.

Beliau berkata,  tindakan tegas akan diambil kepada pemandu,syarikat atau majikan yang  cuai dan tidak mengikut peraturandalam pengurusan pengangkutan yang dijalankan.

“Walaupun operasi selalu dijalankan,  segelintir pemandu lori khususnya masih melanggar peraturan lalu lintas.

“Pihak Polis Trafik Pahang akan terus melaksanakan tindakan penguatkuasaan dan operasi bagi mengesan pemandu yang terus melanggar peraturan dan tindakan akan diambil jika didapati melakukan kesalahan,”katanya.

 Mohd Noor berkata, kemalangan yang meragut tiga nyawa itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuantan, Md. Yusof Husin berkata, pihaknya segera ke lokasi selepas menerima panggilan berhubung kejadian.

"Sebaik tiba, mangsa (wanita) yang  berada di bahagian penumpang belakang telah dibawa keluar oleh orang awam manakala bomba mengambil masa kira-kira 15 minit untuk mengeluarkan mayat Tuan Mohd. Zulhaizee yang tersepit di bahagian pemandu.

"Dua lagi mangsa iaitu dilaporkan cedera dan  mereka dibawa ke Hospital HTAA untuk rawatan lanjut sebelum salah seorang disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan," katanya. #sumber

Subscribe to receive free email updates: