Perlis "Nafi" Air Empangan Timah Tasoh Jadi Punca Banjir Di Kangar ! kabarmalay3.blogspot.com

PADANG BESAR: Kerajaan Negeri Perlis menafikan dakwaan kononnya banjir di bandar Kangar dan kawasan sekitarnya berpunca dari air Empangan Timah Tasoh di Beseri dekat sini.
Pengerusi Jawatankuasa Sumber Asli dan Alam Sekitar Negeri, Datuk Mat Rawi Kassim berkata sebenarnya banjir tersebut berpunca dari air Sungai Gial yang masuk ke Sungai Repuh untuk aliran ke laut melalui Sungai Perlis tetapi terhalang apabila air Sungai Perlis penuh melimpahi tebing.
“Air Sungai Perlis penuh disebabkan air hujan dan menerima juga kemasukan air dari Sungai Santan dan Sungai Kechor menyebabkan parasnya tinggi dan tidak dapat menerima sebarang kemasukan air,” katanya.
Beliau menambah, aliran air Sungai Perlis ke laut pula perlahan kerana bertembung dengan air pasang besar sekali gus memudahkan berlaku banjir.
Mat Rawi menafikan dakwaan yang tular dalam media sosial kononnya bandar Kangar banjir disebabkan semua 6 pintu Empangan Timah Tasoh dibuka sekali gus.
Menurut beliau, pintu empangan berkenaan hanya dibuka 4 sahaja daripada 6 pintu yang sedia ada walaupun air empangan berada pada paras bahaya iaitu 29.98 meter, melebihi paras bahaya 0.38 meter.
Mat Rawi berkata aliran air Empangan Timah Tasoh dialirkan melalui Sungai Korok dan Sungai Abi berhampiran sementara pintu ke Sungai Santan ditutup sepenuhnya bagi mengelak air masuk ke bandar Kangar.
Katanya, hanya limpahan air Sungai Korok dan Sungai Abi sahaja yang masuk ke Sungai Santan dan seterusnya ke bandar Kangar dalam pergerakan aliran masuk ke Sungai Perlis. #sumber

Subscribe to receive free email updates: