Ramai dikalangan ahli PKR dan para penyokong Pakatan Harapan menzahirkan kerisauan dan kebimbangan terhadap keuzuran yang melanda Ketua Umum PKR dan Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ramai yang mendoakan beliau dapat sihat seperti sediakala memandangkan beliau dilihat cukup kuat berjuang walaupun beliau berada di dalam penjara.
Beliau diberitakan telah dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) berikutan tekanan darah rendah. Ini adalah kali ketiga beliau dimasukkan ke HKL sepanjang beliau dipenjarakan sejak 2014.
Dalam hal ini, ramai pihak di dalam PKR bimbangkan tahap keselamatan Ketua Umum PKR ini. Ini kerana, pada tahun 1999, beliau pernah mendakwa telah terkena racun Arsenik yang dihantar oleh musuh politiknya bagi “menghapuskan” terus Datuk Seri Anwar dari muka bumi ini.
Memandangkan keadaan beliau yang sering dijadikan sasaran musuh politiknya, sukalah diingatkan bahawa HKL perlu meningkatkan kawalan mereka di lokasi beliau dirawat.
Ini penting supaya kejadian pada tahun 1999 berkenaan tidak lagi berulang di mana Datuk Seri Anwar terdedah kepada bahaya racun Arsenik.
HKL tidak boleh mengambil sikap sambil lewa dalam hal ini kerana umum mengetahui bahawa Datuk Seri Anwar adalah bakal Perdana Menteri Malaysia. Di sinilah pentingnya menjaga keselamatannya termasuk memeriksa sesiapa sahaja yang mahu melawat Datuk Seri Anwar di HKL.