Seorang wakil rakyat DAP hari ini menggesa kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat peristiwa penahanan Tan Sri Muhammad Muhammad Taib di Australia kira-kira 20 tahun lalu kerana membawa wang tunai bernilai hampir AS$1 juta tanpa diisytiharkan kepada pihak berkuasa negara itu.
“Sementara pentadbiran Datuk Seri Najib Razak sedang gigih menubuhkan RCI untuk mencari kebenaran tentang skandal forex Bank Negara 30 tahun lalu, Najib wajar menubuhkan sebuah ‘RCI mini’ untuk menyelongkar beg Muhammad Taib berisi AS$1 juta yang hanya baru berlaku pada tahun 1996,” kata Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng.
Muhammad, atau lebih dikenali sebagai Mat Taib, baru-baru ini mengumumkan penyertaan semula ke dalam Umno, selepas 4 tahun bekas menteri besar Selangor dan naib presiden Umno itu menyokong pembangkang dengan menganggotai PAS dan PKR.
Ahad lalu, sebuah sidang media pengumuman mengenai kemasukan semula beliau turut dihadiri Najib dan pemimpin utama Umno lain.
Lim merujuk kes melibatkan Mat Taib pada Disember 1996, ketika ditahan pihak keselamatan di Lapangan Terbang Brisbane, Australia kerana membawa bersamanya tunai dalam mata wang ringgit, Singapura dan New Zealand bernilai hampir AS$1 juta tanpa sebarang perisytiharan kastam.
Peraturan Australia mewajibkan wang tunai melebihi nilai A$5,000 diisytiharkan. Dalam perbicaraan mahkamah di Australia, Mat Taib mendakwa beliau faham peraturan itu yang ditulis dalam bahasa Inggeris.
Lim berkata perdana menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa tidak tahu sumber wang yang diangkut Mat Taib, sementara agensi anti-rasuah ketika itu, Badan Pencegah Rasuah (BPR) turut tidak membuat sebarang pendakwaan.
Lim berkata Mat Taib wajar disiasat termasuk sama ada wang tunai itu dikenakan cukai oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
“Ruang lingkup ‘RCI mini’ ini wajar menyiasat sumber dana itu, tujuannya, serta sama ada cukai yang dibayarnya kepada LHDN pada tahun 90’an berkadaran dengan wang yang diangkut ke Brisbane.
“Juga kenapa BPR menghentikan siasatan serta kemahirannya berbahasa Inggeris pada tahun 1996, kerana beliau mendakwa tidak faham bahasa Inggeris justeru tidak faham undang-undang Australia,” katanya. - MK