Rafizi Gesa "Hadi Awang" Jelaskan Kerjasama PAS-UMNO Di Selangor ! kabarmalay3.blogspot.com

PETALING JAYA: Rafizi Ramli menggesa Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjelaskan rancangan PAS didakwa bekerjasama dengan Umno untuk merampas Selangor pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) seperti dilaporkan akhbar Singapura, Straits Times.
Naib presiden PKR itu berkata, jika laporan berkenaan benar, maka ia adalah tamparan besar terhadap kredibiliti PAS dan Hadi.
“Saya meminta Hadi membuat penjelasan segera terhadap laporan ini kerana ia memberi kesan besar kepada negara dan mempengaruhi perkembangan politik dalaman di peringkat PKR dan Pakatan Harapan (PH).
“Jika laporan ini tidak benar, maka samanlah Straits Times segera dan buat sidang media tergempar untuk menafikan perkara di atas.
“Jika benar, saya mohon beliau tidak berdolak dalih dan mengesahkan sama ada kerjasama dengan Umno untuk merampas Selangor pernah ada dalam pertimbangan politik PAS sebelum ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Straits Times hari ini melaporkan presiden PAS dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak “berhubung hampir setiap hari selama beberapa bulan” untuk membincangkan rancangan menjalin kerjasama politik bagi menawan Selangor.
Najib juga didakwa kerap menghubungi Hadi, termasuk ketika ahli Parlimen Marang itu sedang berehat selepas beliau menjalani pembedahan jantung pada Mei lalu.
Menurut laporan itu, satu daripada perancangan mereka ialah PAS bertanding di 42 kerusi Dewan Undangan Negeri di Selangor, bagi mengurangkan undi Melayu kepada PH.
Laporan itu turut memetik seorang sumber yang mendakwa bekas menteri besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim yang dipecat PKR pada 2014, turut didekati dalam cubaan melantiknya menerajui kerajaan PAS-Umno itu nanti.
Laporan itu mendakwa Khalid juga dilihat pergi ke pejabat Najib beberapa kali.
Rafizi ketika mengulangi pendirian PH untuk bersedia menghadapi pertandingan 3 penjuru membabitkan PAS berkata, sudah tiba masanya untuk menyelesaikan perbezaan pendapat di kalangan pimpinan kanan PKR berhubung isu itu.
Ahli Parlimen Pandan itu berkata, beliau menghormati usaha pemimpin lain cuba memujuk PAS, walaupun tiada bukti menunjukkan pertandingan 3 penjuru akan menyebabkan PKR mengalami kekalahan besar dan hilang kerajaan Selangor diterajui parti itu.
Malah, katanya, semua tinjauan yang dijalankan secara terbuka dan telus oleh Invoke menunjukkan rakyat akan menyokong PKR dan PH dalam pertandingan 3 penjuru, kerana ia adalah kehendak rakyat untuk menukar kerajaan pimpinan Najib.
Rafizi berkata, sebelum ini beliau mengimbangi keperluan untuk memberi ruang kepada pemimpin PKR lain untuk menjayakan rundingan dengan PAS.
“Mengambil kira beberapa perkembangan terkini, termasuklah pengumuman PAS Selangor semalam untuk bertanding di 42 kerusi dan laporan hari ini yang membayangkan kerjasama PAS-Umno, saya akan berunding dengan seberapa ramai pimpinan PKR lain ke arah memuktamadkan pendirian PKR mengenai PAS dan komitmen PKR kepada PH.”
Beliau percaya perbezaan pendapat di kalangan pemimpin kanan dalam Biro Politik dan Majlis Pimpinan Pusat akan diteruskan tanpa persetujuan.
Sehubungan itu, katanya, keputusan besar itu hanya boleh dimuktamadkan dengan mengambil kira suara akar umbi PKR, bukannya ditentukan beberapa pemimpin kanan parti.
Rafizi berkata, tidak kira apa caranya, beliau mahu pendirian PKR berhubung kerjasama dengan PAS dan komitmen terhadap PH perlu dimuktamadkan dalam masa terdekat, bukannya dibiarkan “terbuka”. #sumber

Subscribe to receive free email updates: