Dua Lelaki, Di Penjara & Di Denda Merokok Dalam Tandas Pesawat ! kabarmalay3.blogspot.com

SEPANG: Seorang lelaki warga Iran yang dalam perjalanan dari Tehran ke Belanda untuk mencari pekerjaan didenda RM2,500 dan dipenjara 2 hari oleh Mahkamah Majistret Sepang selepas mengaku bersalah merokok dalam tandas pesawat AirAsia.
Majistret, Norul Fitri Hamdan menjatuhkan hukuman tersebut selepas Ali Firooz, 35, mengaku bersalah merokok dalam tandas penerbangan AirAsia dari Tehran ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada jam 7.55 pagi, 23 Ogos lalu.
Ali yang kelihatan tenang, namun keletihan dalam kandang tertuduh mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan kepadanya dalam bahasa Inggeris.
Dia menghadapi tuduhan mengikut Seksyen 100 Peraturan-peraturan Penerbangan Awam 2016 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 206 peraturan sama yang membawa hukuman maksimum denda RM2,500 dan penjara tidak lebih setahun.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Ashvinii Thinakaran sementara tertuduh diwakili peguam Zaflee Pakwanteh. Majistret memutuskan tertuduh dipenjara mulai tarikh dia ditahan.
Tertuduh membayar denda tersebut dan difahamkan dia akan dihantar pulang ke Iran.
Sementara itu, di mahkamah sama, seorang remaja lelaki berusia 18 tahun berjanji tidak akan merokok dalam penerbangan lagi, selepas dia didenda RM1,500 dan penjara 2 hari atas kesalahan sama.
“Saya tidak akan buat lagi,” kata pelajar Joshua Ling Yu Hann selepas majistret menjatuhkan hukuman ke atasnya.
Dia menghadapi tuduhan merokok dalam penerbangan AirAsia AK5875 dari Sibu ke klia2 pada 10.30 malam, 23 Ogos lepas. #sumber

Subscribe to receive free email updates: