HARAPAN mohon campur tangan Agong kabarmalay3.blogspot.com





Pakatan Harapan (HARAPAN) hari ini meminta Yang di-Pertuan Agong menggunakan budi bicara baginda untuk merujuk isu pelantikan semula ketua hakim negara dan hakim Mahkamah Rayuan ke Mahkamah Persekutuan.

Bercakap kepada media di luar Istana Negara hari ini, Pengerusi HARAPAN Tun Dr Mahathir Mohamad berkata mengikut Perkara 130 Perlembagaan Persekutuan, cuma Agong boleh membuat rujukan permasalahan perlembagaan untuk ditentukan oleh Mahkamah Persekutuan.

"Justeru, kesemua kami yang mewakili keempat-empat parti gabungan dalam HARAPAN - melalui warkah ini - menyeru agar Agong melaksanakan budi bicara baginda untuk membuat satu rujukan ke Mahkamah Persekutuan berkenaan persoalan sama ada pelantikan semula itu sah ataupun tidak," katanya.

Turut mengiringi Dr Mahathir di Istana Negara tadi ialah Presiden HARAPAN dan PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Presiden Parti Amanah Negara Datuk Dr Mujahid Yusuf Rawa dan veteran DAP, Lim Kit Siang.

Mereka tiba di situ jam 3 petang dan keluar semula kira-kira setengah jam kemudian.

Pejabat Perdana Menteri pada 7 Jun lalu mengumumkan pelantikan Tan Sri Md Raus Sharif dan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin sebagai hakim tambahan dengan mengekalkan jawatan masing-masing, iaitu Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan.

Md Raus disambung perkhidmatannya selama tiga tahun, manakala Zulkefli untuk dua tahun.
Menurut Dr Mahathir, perlembagaan negara menyebut pelantikan itu dibuat oleh Agong atas nasihat perdana menteri.

Justeru, katanya, Agong berhak membangkitkan perkara itu untuk diputuskan mahkamah sebelum ia berkuat kuasa.

"Pelanjutan semula jawatan Ketua Hakim Negara yang disandang Md Raus akan berkuatkuasa dalam masa dua hari lagi, iaitu pada 4 Ogos 2017.

"Sekiranya tidak ditangani segera, ia akan mewujudkan krisis kehakiman kerana kesemua perbicaraan ataupun keputusan selepas 4 Ogos ini akan menjadi tidak sah.

"Malah sistem pentadbiran badan kehakiman yang dikendalikan oleh Ketua Hakim Negara akan menjadi cacat disebabkan badan kehakiman tidak diuruskan hakim yang sah di sisi perlembagaan," katanya.

Dr Mahathir berkata, surat yang dihantar itu menegaskan bahawa pelantikan semula kedua-dua hakim terbabit mencabuli perlembagaan.

"Berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, jawatan Ketua Hakim Negara mahupun Presiden Mahkamah Rayuan tidak boleh dilanjutkan selepas penjawat itu mencapai umur 66 tahun dan 6 bulan," katanya.

 LIHAT VIDEO DI SINI


Subscribe to receive free email updates: