MALAYSIAKINI
Memang pening kepala speaker kalau anggota pembangkang dan kerajaan bergaduh dalam Dewan Rakyat.
Namun jarang-jarang kita dengar sampai tukul speaker boleh patah.
Tetapi itulah yang terjadi hari ini, tetapi bukanlah disebabkan oleh semua itu.
Ketika Ngeh Koo Ham (DAP-Beruas) sedang berucap, tiba-tiba terdengar suara menyuruhnya duduk dahulu.
Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia kemudian tiba-tiba memegang tukul dan meminta bentara dewan menggantikannya.
“Ini bentara, ambil maklum, tukar saya punya tukul sebab patah,” katanya sambil mengangkat dengan tangan kanan dan memegang hujungnya dengan tangan kiri.
“Saya mahu yang solid,” katanya lagi yang kemudian menyebabkan dewan gamat dengan gelak ketawa.
Pandikar bagaimanapun tidak senyum dan dengan nada serius terus berkata:
“Saya serius, dia sudah patah tadi.
“Jadi ambil yang solid, yang tidak boleh patah,” katanya.
Anggota dewan bagaimanapun terus ketawa dengan kenyataan speaker itu.
Pandikar kemudian bangun dan meninggalkan kerusinya sebelum diambil alih oleh timbalannya.
Sambil itu, anggota parlimen BN daripada Baling Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim sempat berseloroh dengan berkata.
“Tukar besi kasi speaker. Ini pembangkang punya hal,” katanya.
Persidangan bersambung seperti biasa.
LIHAT VIDEO DI SINI