PKR K'tan tak letak jawatan sebab tunggu arahan rasmi kabarmalay3.blogspot.com

MALAYSIAKINI


PKR Kelantan masih menunggu arahan rasmi daripada parti untuk melepaskan jawatan lantikan politik di negeri itu, kata pemimpinnya.

Pengarah komunikasi PKR negeri itu Mohd Sukirman Mustapa berkata pihaknya akan akur kepada apa saja arahan pimpinan pusat.

Bagaimanapun, Sinar Online melaporkan Mohd Sukirman memberi penjelasan keputusan muktamad akan diumumkan pihak majlis pimpinan negeri,

“Ia berikutan ada arahan yang belum dikeluarkan secara rasmi.

"Apa-apa arahan yang akan diumumkan pihak Majlis Pimpinan Negeri, akan kami akur dan bertindak segera," katanya.

Pada 16 Mei lalu Biro Politik PKR mengarahkan semua anggota parti yang mendapat lantikan ke jawatan kerajaan Kelantan supaya meletakkan jawatan.

Arahan itu menyebut, peletakan jawatan itu berkuat kuasa serta-merta.

Membacakan kenyataan itu Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail berkata arahan berkenaan telah disampaikan kepada pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Kelantan.

"PKR juga telah membuat keputusan bahawa semua lantikan politik PKR di dalam kerajaan negeri Kelantan diminta melepaskan jawatan tersebut berkuat kuasa serta-merta.

Prinsip lebih utama

Pendirian itu dibuat ekoran keputusan PAS memutuskan kerjasama politik mereka dengan PKR.

Peguam serta bekas senator, Saiful Izham Ramli, menyarankan isu polemik kerjasama politik itu tidak harus dihadkan kepada kedudukan PAS dan PKR di Selangor, sebaliknya turut mengambil kira keadaan di Kelantan.

Tidak seperti di Selangor yang diketuai PKR, Kelantan pula dikuasai PAS.

Kata Saiful Izham parti itu perlu mengarahkan semua anggotanya yang mendapat lantikan politik daripada Kota Darulnaim supaya meletakkan jawatan masing-masing.

"Dengan itu, barulah rakyat melihat bahawa PKR meletakkan kepentingan rakyat dan prinsip lebih utama berbanding keperluan peribadi," katanya.

Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob (gambar, tengah) pula menyatakan belum ada mana-mana anggota PKR meletakkan jawatan dan keadaan berjalan seperti biasa.

Ketika menghadiri majlis berbuka puasa dengan anak-anak Kelantan di Shah Alam pada 3 Jun lalu, Ahmad menganggap apa yang berlaku itu sebagai "satu persefahaman yang di luar daripada apa yang difikirkan”.

Sementara itu, wakil rakyat tunggal PKR dari Guchil, Mohamad Roslan Puteh berkata pihaknya masih belum meletakkan jawatan kerana masih di peringkat rundingan.

Bersikap terbuka

Pada 9 Jun pula Dr Wan Azizah berkata PKR peletakan jawatan itu mungkin akan dilaksanakan sepenuhnya menjelang akhir Julai.

"Masalah ini akan diselesaikan. Dalam urusan pentadbiran ada aspek teknikal yang perlu dilalui sebelum tindakan diambil," katanya.

Mengulas lanjut Mohd Sukirman berkata anggota PKR terbabit bukan sengaja enggan meletakkan jawatan atau berkeras tidak mahu mematuhi arahan parti.

"Tetapi (ia)lebih kepada arahan itu sendiri,” katanya.

Sementara itu Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata PAS masih terbuka untuk memberi ruang kepada anggota PRK yang mendapat lantikan politik terus memegang jawatan sehingga akhir tahun atau hingga pilihanr raya umum akan datang.

Menurutnya, PAS enggan masuk campur urusan dalaman PKR memandangkan arahan untuk meletakkan jawatan sebelum ini adalah daripada parti itu sendiri.

"Kami di Kelantan bersikap terbuka. Kami pun belum terima apa-apa surat letak jawatan atau sebagainya berhubung perkara tersebut,” katanya.


Subscribe to receive free email updates: