Perlekeh MRT, Najib ‘serang balik’ skandal pembangkang kabarmalay3.blogspot.com

THE MALAYSIAN TIMES
 


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini membidas sikap pembangkang yang memperkecil-kecilkan usaha kerajaan dalam pembangunan Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK).

Beliau berkata projek MRT itu diilhamkan dengan tujuan agar rakyat Malaysia yang tinggal di bandar berpeluang menikmati jaringan pengangkutan awam yang lebih cekap dan kualiti hidup yang lebih baik untuk rakyat, sekaligus mengembangkan lagi ekonomi negara.

“Namun, nampaknya pembangkang masih lagi dengan sikap mereka yang gemar memperkecil-kecilkan apa saja yang dilaksanakan oleh Kerajaan untuk rakyat. Ada yang memperkecil-kecilkan jaringan MRT kononnya mereka boleh bina dengan kos lebih murah,” kata Najib dalam catatan blognya, najibrazak.com, hari ini.

Najib berkata, ada dalam kalangan pembangkang yang memperkecil-kecilkan kewujudan jaringan MRT yang kononnya mereka boleh membina dengan kos lebih murah, selain sewenang-wenangnya memperlekehkan hasil kepakaran anak tempatan.

Sebaliknya beliau berkata anak tempatan telah bertungkus lumus menyiapkan MRT pada kos lebih rendah daripada bajet dan siap lebih awal dari jadual.

“Yang lucunya, baru-baru ini sudah mula terbongkar di negeri-negeri mereka tentang skandal banglo, rumah, Disneyland, harga terowong, pintu gerbang dan lebuh raya yang dibina berlipat ganda lebih tinggi daripada sepatutnya.

“Ke mana hilangnya wang ini? Apakah skandal kewangan mereka ini tujuan untuk membina MRT dengan lebih murah?,” soal Najib.

Perdana menteri berkata rakyat sentiasa memerhati usaha kerajaan selain mereka tidak terlepas pandang dengan pelbagai perkara aneh dalam pentadbiran pembangkang.

“Pokoknya, projek MRT Line 1 kini sudah siap dan rakyat Malaysia telah mula menikmati kemudahan ini,” katanya.

Najib bekata beliau juga teruja untuk terus memastikan pelbagai lagi transformasi dijalankan ke atas sistem pengangkutan awam negara di masa hadapan.

Projek MRT SBK dengan kos RM21 bilion melibatkan 31 stesen dengan laluan fasa pertama sebanyak 11 stesen antara Sungai Buloh dan Semantan mula beroperasi 16 Dis tahun lepas, manakala laluan fasa kedua melibatkan 20 stesen antara Muzium Negara dan Kajang mula beroperasi pada 17 Julai lepas.

Ia memberi perkhidmatan di sepanjang koridor dari Sungai Buloh ke Kajang yang mempunyai 1.2 juta penduduk.

Setiap set tren untuk laluan berkenaan mempunyai empat gerabak, membolehkan kapasiti sebanyak 1,200 penumpang dengan kekerapan 3.5 minit di antara setiap tren dan dianggarkan bilangan penumpang harian lebih 400,000 orang.

Projek MRT SBK itu dapat membantu mengurangkan kos sara hidup dengan menyediakan sistem pengangkutan yang selesa dan lebih murah di samping mengurangkan kesesakan lalu lintas, mengurangkan masalah tekanan di kalangan orang ramai, membantu alam sekitar di segi pengurangan pelepasan karbon dan mempergiatkan lagi kegiatan ekonomi di koridor tersebut.


Subscribe to receive free email updates: