PETALING JAYA: Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad hanya akan bertanding pilihan raya akan datang jika partinya dalam keadaan terdesak.
Beliau berkata PPBM, yang ditubuhkan pemimpin veteran UMNO bersama bekas ahli parti itu, mempunyai ramai calon yang berkelayakan dan berpengalaman untuk bertanding pada pilihan raya nanti.
“Saya belum tentukan lagi sama ada saya akan bertanding atau tidak, cuma dalam keadaan terdesak sajalah saya akan bertanding tapi di waktu ini tidak nampak terdesak.
“Kita punyai banyak calon untuk bertanding yang ada ini semua mempunyai kekuatan masing-masing,” katanya lapor Sinar Harian hari ini.
Tokoh politik berusia 92 tahun itu menyertai pilihan raya di bawah bendera Perikatan pada pilihan raya umum 1964, dan menang kerusi Parlimen Kota Setar Selatan, dan mengalami kekalahan pertamanya di tangan pemimpin PAS, Yusof Rawa dalam pilihan raya 1964.
Kemenangan di Parlimen Kubang Pasu pada pilihan raya umum 1974 menyaksikan beliau kekal bertahan sehingga pilihan raya umum 1999.
Beliau melepaskan jawatan perdana menteri selepas 22 tahun dan tahun lepas mengisytiharkan keluar Umno sebelum menubuhkan PPBM dan menyertai Pakatan Harapan.
Dengan pilihan raya umum ke-14 perlu diadakan selewat-lewatnya pertengahan tahun depan, Dr Mahathir menyeru ahli parti dan Pakatan Harapan supaya tidak mensabotaj calon yang dipilih untuk PRU nanti.
“Saya tahu mereka akan rasa kecewa kerana tak dipilih, tapi mereka perlu sokong orang dipilih kerana mereka dipilih itu juga mahu sokongan orang yang tidak dipilih itu.
“Kalau kita tak dipilih tapi menyokong yang dipilih sebagai calon, kita akan menang, semua akan menang untuk mengecapi nikmat yang akan diperolehi.
“Kalau mereka ambil langkah sabotaj, semua nikmat itu tidak akan dapat dirasai.”. #sumber