Hasan: Kes 1MDB Sudah Selesai Di Siasat, "Tiada Kaitan" Dengan DoJ ! kabarmalay3.blogspot.com

KUALA LUMPUR: Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berkata jawatankuasa tidak akan membuka semula siasatan terhadap 1MDB biarpun Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) memfailkan saman sivil terbaru untuk menyita aset yang didakwa dibeli dengan dana yang didakwadigelapkan dari dana pelaburan milik kerajaan itu.
Datuk Hasan Arifin berkata saman itu tiada kaitan dengan siasatan PAC, dan Laporan Kawalan Pengurusan Tadbir Urus 1MDB sudah pun dibentangkan di Parlimen untuk tindakan kerajaan.
“Terpulang kepada kerajaan persekutuan untuk ambil sebarang tindakan. PAC tidak akan buka lagi siasatan,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.
Hasan menjawab pertanyaan pemberita sewaktu diaju soalan mengenai saman terbaru DoJ, yang mahu menyita AS$540 juta (RM2.3 bilion) aset termasuk karya seni, barang kemas dan hak filem “Dumber and Dumber To” dan “Daddy’s Home”.
Keseluruhan nilai aset yang cuba didapatkan DoJ meningkat kepada AS$1.8 bilion (RM7.7 bilion) dengan tindakan mahkamah terbaru itu.
DoJ mendakwa dari 2009 hingga 2015, lebih AS$4.5 bilion (RM19 bilion) milik 1MDB dilencongkan pegawai tinggi dana itu dan rakan mereka.
Ini kali kedua Hasan berkata jawatankuasa tidak akan membuka semula siasatan ke atas 1MDB, selepas DoJ pada Julai tahun lepas dilaporkan sedang menyelongkar aset yang dipercayai dibeli dengan dana yang digelapkan daripada 1MDB.
Saman sitaan Julai tahun lepas mahu mendapatkan kembali semua aset termasuk tetapi tidak terhad kepada Hotel Park Lane di New York, sebuah hotel mewah di Beverly Hills, kondominium di New York, jet mewah, karya seni, serta biaya filem Martin Scorcese “The Wolf of Wall Street”, yang dibintangi Leonardo DiCaprio.
PAC yang dianggotai 9 ahli Parlimen kerajaan dan 5 ahli Parlimen pembangkang mengemukakan rumusan dan cadangan kepada kerajaan berhubung tadbir urus syarikat milik Menteri Kewangan Diperbadankan itu pada 7 April 2016.
Laporan tersebut menyatakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak melakukan sebarang kesalahan dalam isu berkaitan 1MDB.
Najib secara konsisten menafikan sebarang salahlaku dan namanya dibersihkan Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali pada 26 Januari tahun lepas.
Laporan PAC setebal 106 muka surat itu sebaliknya mengesyorkan pihak berkuasa menyiasat bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan pihak berkaitan.
Siasatan PAC yang bermula pada 19 Mei 2015 dan berakhir pada 11 Februari 2016 itu mengambil keterangan daripada Kementerian Kewangan, Unit Perancang Ekonomi, Lembaga Pengarah 1MDB, pengurusan tertinggi syarikat itu serta juruaudit mereka.
Jabatan Audit Negara turut membentangkan Laporan Pengauditan 1MDB kepada PAC pada 4 dan 7 Mac lalu. #sumber

Subscribe to receive free email updates: