Dua hari memberi keterangan, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin beberapa kali menegaskan tentang senario di mana beliau berhadapan dengan ancaman dan tekanan sehinggga memaksanya bersetuju membuka akaun bank luar negara dan menyertai ‘misi’ menyelamatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Hari ini saksi kelapan kes berprofil tinggi itu diasak oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah sejauh mana beliau diancam dan siapa sebenarnya yang mengeluarkan ancaman-ancaman tersebut.
Ketika pemeriksaan balas Amhari dengan ketua pasukan peguam Najib itu, Amhari pernah berkhidmat di Bank Negara Malaysia (BNM) itu berkata, ancaman yang dimaksudkan tersebut sebenarnya bukan secara terus tetapi melalui Low Taek Low atau Jho Low.
Shafee: Saya ingatkan balik kenyataan saksi anda di mana anda rasa begitu tertekan terutamanya ketika membuka akaun bank bawah arahan Jho Low pada 2012.
Amhari: Ya.
Shafee: Itu pada 2012. Arwah Datuk Azlin juga meminta anda untuk turuti sahaja arahan atau berdepan dengan ancaman nyawa? Siapa yang bawa ancaman itu? Adakah Jho Low atau Najib mahu menembak anda di mana-mana?
Amhari: Perdana Menteri ada kuasa. Apabila saya cakap ancaman, bukan sahaja nyawa. Tentulah kehilangan nyawa adalah yang terburuk tetapi saya juga maksudkan ancaman kerja dan kehidupan harian. Datuk Azlin yang beri saya nasihat itu.
Shafee: Jho Low mendesak dan meyakinkan dan anda merasakan semua itu datangnya daripada arahan Perdana Menteri sendiri?
Amhari: Jho Low kata ada restu Perdana Menteri.
Shafee: Itu yang Jho Low cakap, anda rasa terancam dan ianya datang melalui Jho Low? Adakah itu yang kamu rasa?
Amhari: Selepas berbincang dengan mendalam dengan Datuk Azlin, memang ancaman tidak datang secara terus daripada Perdana Menteri. Ianya datang daripada Jho Low.
Shafee: Anda pastinya boleh sahaja pergi bertanya sendiri kepada Najib tentang arahan-arahan itu? Pastinya tekanan perasaan malah tekanan gula juga turun. Tidakkah anda bersetuju?
Amhari: Tidak setuju.
Shafee Abdullah juga beberapa kali bertanya kepada Amhari mengapakah beliau tidak bersemuka sahaja dengan Najib setiap kali adanya arahan yang dirasakan mengancam atau was was tetapi bekas pegawai itu tidak menjelaskan mengapa sebaliknya hanya berkata tidak setuju.
Semalam, Amhari dalam keadaan sebak dan hampir menangis ketika membacakan penyataan saksinya berkata beliau terpaksa mengikut sahaja arahan Najib atau Jho Low kerana takut jika ingkar, dirinya atau keluarga dan kerjayanya terancam.
Kata Amhari, antara arahan dikeluarkan oleh Jho Low ‘melalui Najib’ yang menyebabkan dirinya berat hati namun di ikuti sahaja termasuk menjadi wakil Malaysia ke China yang dipercayai dilakukan untuk menutup hutang 1MDB melalui pelaburan.
Selain itu, juga pembukaan akaun bank BSI di atas nama Amhari dan Datuk Azlin yang didakwanya bagi tujuan untuk penggubahan wang haram (money laundering).
Bagaimanapun hari ini, Amhari berkata arahan Jho Low untuk beliau membuka akaun di Singapura tidak di ketahui oleh Najib.
Malah Amhari mengakui tidak bertanya juga tentang arahan pembukaan bank Singapura itu kepada Najib sambil memberikan alasan dirinya hanya pegawai biasa berbanding arwah Datuk Azlin.
Perbicaraan terus bersambung dengan Shafee Abdullah terus menyoal balas saksi pada masa ini.