Kenapa Gila2 Mahu UiTM, sedang Sekolah Cina Punca Perpecahan diam kabarmalay3.blogspot.com

KUALA LUMPUR: Usaha berterusan sesetengah pihak cuba mendesak Universiti Teknologi Mara (UiTM) dibuka kepada semua kaum dilihat berniat jahat, ujar bekas Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM), Profesor Emeritus Tan Sri Dr Ibrahim Abu Shah.

Malah beliau mempersoalkan tahap keikhlasan cadangan berkenaan yang mengaitkan alasan untuk membina perpaduan masyarakat. 

"Kenapa yang (UiTM) satu ini gila-gila sangat nak buka (kepada semua kaum) dan hendak dikacau? Apa tujuan dia? Tujuan bermotif jahat. Kalau bermotif ikhlas untuk perpaduan saya boleh terima, tetapi bermotif jahat memang untuk melemahkan orang Melayu dan Bumiputera, dan ini saja satu-satunya yang kita ada, yang kita telah latih Bumiputera sejak awal 60-an," katanya semasa dihubungi Astro AWANI, di sini hari ini.

Sebelum ini Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Muzaffar Syah Mallow dalam artikel beliau hujung minggu lalu menegaskan sudah sampai masa semua institusi pengajian tinggi atau universiti dalam negara dibuka untuk semua kaum bagi membenarkan persaingan sihat dan mengukuhkan semangat keharmonian kaum.
BACA: Universiti harus dibuka untuk semua kaum, benarkan persaingan secara sihat

Beliau pada masa sama, hairan mengapa ada pihak yang terlalu berminat untuk mendesak UiTM dibuka kepada kaum lain, sedangkan usaha memupuk perpaduan perlu dimulakan dari sekolah rendah lagi.

"Sebelum mahu menyentuh mengenai UiTM, semua rakyat Malaysia mesti balik kepada asas untuk negara ini, bahkan asas ini diamalkan negara dalam dunia melainkan di Malaysia iaitu mesti bermula di peringkat sekolah rendah dan menengah.

"Maka kalau dua ini boleh selesaikan, barulah kita boleh bercakap di peringkat yang tinggi. Ini di peringkat rendah pun kita masih chauvinis dan rasis, dan kita masih menekankan kepentingan bangsa kita sahaja, kita tidak berganjak bahkan banyak yang kita buat itu bercanggah dengan perlembagaan, bercanggah dengan hasrat negara untuk menyatupadukan rakyat, kita tak buat," tambahnya.

Menurut Ibrahim, semua pihak perlu berbalik kepada asas perlembagaan sebelum berniat mengatakan UiTM adalah rasis.

"Padahal mereka itu yang begitu rasis dan chauvanis bahkan bercanggah dengan perlembagaan. Bahkan banyak apa yang dilakukan oleh menteri-menteri bercanggah dengan perlembagaan yang memang merosakkan hasrat perpaduan. Umpamanya dalam perlembagaan, kita tidak boleh bagi peruntukan kepada universiti swasta, sekolah swasta, tetapi ini sekolah swasta cina juga diberi peruntukan, universiti era baharu juga diberi, ini apa cerita?," ujarnya.

Jelas beliau, sehingga kini, lebih 70 peratus orang Melayu dan Bumiputera yang dilahirkan UiTM berjaya menjadi golongan profesional dalam pelbagai bidang.

Justeru, beliau tidak nampak apakah sebenarnya maksud di sebalik desakan mana-mana pihak mengenai cadangan berkenaan selepas melihat kejayaan yang dicapai graduan UiTM.

"Bahkan banyak fakulti yang diiktiraf pakar profesional. Jadi tidak ada sebab kita nak buka pada semua kaum. Kalau tidak janganlah kacau. Ini hari saya tengok semua nak kacau, melemahkan orang Melayu Bumiputera, niat jahat saya tak terima," tambahnya.

Subscribe to receive free email updates: