Inilah gambar yang tersebar di media sosial kononnya Hantu Raya (imej kiri) bertenggek mencari tuan dan gambar kanan pula imej asal yang diambil dan diedit pada foto sebelah kiri.
PENDUDUK di beberapa buah kampung di Kampung Gajah Perak semakin berasa resah sejak beberapa hari lalu.
Tatkala malam tiba, mereka mula mengunci pintu rumah, tidak berani keluar malam malah ada yang tidur dalam keadaan serba ketakutan.
Ia disebabkan terdapat satu perkara ganjil di kampung mereka yang tidak pernah berlaku sebelum ini apabila pintu rumah diketuk tengah malam.
"Tuk... tukkk... tukkkk" bunyi pintu seolah-olah ada orang dalam kecemasan memerlukan bantuan mengetuk pintu rumah.
Malang sekali apabila tuan rumah membuka pintu, tidak menemui sesiapa.
Kejadian yang berlaku itu menyebabkan penduduk kecoh membicarakannya kerana ingin mengetahui siapakah nyang mengetuk pintu rumah mereka di malam hari?
Akhirnya, timbullah cerita dua ekor Hantu Raya tidak bertuan sedang mencari peneman selepas pemilik asal melepaskan mereka.
Ahli keluarga Pak Jago tampil membuat penjelasan mengenai tuduhan membela makhluk halus.
Lebih memeranjatkan apabila nama seorang penduduk kampung iaitu Pak Jago dikatakan menjadi punca kerana telah merelakan dirinya untuk membela salah satu daripada dua Hantu Raya tidak bertuan itu.
Bagaimanpun misteri ketukan pintu tanpa salam itu akhirnya terjawab apabila Ketua Kampung Sungai Galah, Yahaya Ahmad mengesahkan kejadian misteri itu didalangi seorang individu dipercayai seorang bomoh daripada kawasan lain yang sengaja menimbulkan ketakutan dalam kalangan penduduk setempat.
Keadaan bertambah buruk apabila bomoh yang sama menuduh Pak Jago telah mengambil salah satu makhluk tersebut sehingga Pak Jago dibenci penduduk tempatan.
"Kononnya ada orang ketuk pintu itu tidak wujud pun... Semuanya rekaan individu (bomoh) itu bagi menakutkan penduduk kampung dan menimbulkan kekecohan.
"Sampaikan Pak Jago yang tidak bersalah itu pun dituduh mengambil makhluk halus untuk dibela walhal dia tidak mengetahui apa-apa pun sehingga dipandang serong oleh masyarakat.
"Saya tidak tahu apa sebenarnya niat bomoh itu berbuat demikian dan cubaannya menimbulkan huru-hara dalam kalangan penduduk kampung nampaknya berjaya," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Selasa.
Dalam pada itu, Yahaya turut mengesahkan foto penampakan makhluk halus dalam gambar seperti tersebar di media sosial adalah palsu dan hasil edit pihak tidak bertanggungjawab.
Mesej yang tersebar menjadi tular di media sosial.
Malah katanya, video yang turut tersebar dengan memperlihatkan seorang wanita meracau dipercayai dirasuk oleh seekor makhluk halus kononnya mencari tuan juga tidak benar.
"Apa yang saya dimaklumkan wanita berkenaan memang sakit dan dia adalah pesakit bomoh berkenaan tetapi kejadian dia dirasuk tiada kena mengena dengan apa yang sedang berlaku di kampung kami,” ujarnya.
Sementara itu, Yahaya berkata, laporan polis sudah dibuat terhadap bomoh berkenaan dan individu itu sudah pun menyerahkan diri kepada pihak polis untuk membantu siasatan.
Dalam perkembangan sama, adik ipar kepada Pak Jago iaitu Nurul Natassya meminta orang ramai menghentikan fitnah terhadap abang iparnya itu selain dia juga sudah membuat laporan polis berhubung perkara terjadi.
"Semua dah tahu pasal gangguan di kawasan Sungai Galah sejak beberapa hari ini... Kepada penyebar fitnah tu tolong jangan ambil kesempatan menuduh dan terang-terangan sebut nama abang ipar saya seolah-olah dia punca kejadian di Sungai Galah yang konon-konon membela benda tu.
"Kenapa perlu dengar dari mulut orang lain daripada tuan punya badan? Nama baik abang ipar saya sekarang dah kotor disebabkan fitnah ini.
"Saya harap pihak polis dapat siasat kes ini sampai maruah keluarga saya dibersihkan," tulisnya di Facebook.