WAJARKAH TERBURU-BURU RATIFIKASI ICERD? kabarmalay3.blogspot.com


WAJARKAH TERBURU-BURU RATIFIKASI ICERD?

ICERD [1] adalah konvensyen antarabangsa untuk menghentikan segala diskriminasi kaum di negara ini. Secara zahir, ia kelihatan baik kerana Islam sendiri tidak membezakan seseorang atas rupa, warna kulit dan bangsa. 
Namun, jika diteliti, ICERD jauh melangkaui isu diskriminasi kaum itu sendiri.

Terdapat 25 Perkara dalam ICERD merangkumi 3 bahagian utama dengan bahagian 1 lebih kritikal untuk diperhalusi.

Ini kerana, melihat kepada definisi "racial discrimination" dalam Perkara 1 sudah memperlihatkan hala tuju yang hendak dicapai.

Diskriminasi kaum ditafsir dengan "any distinction, exclusion, restriction or preference based on race, colour, descent, or national or ethnic origin which has the purpose or effect of nullifying or impairing the recognition, enjoyment or exercise, on an equal footing, of human rights and fundamental freedoms in the political, economic, social, cultural or any other field of public life."

Tafsiran ini dilihat terlalu luas dan melanggar beberapa perkara asas dalam Perlembagaan Persekutuan.

Selain itu, Perkara 2 (1) ICERD menyebutkan;

"...pursue by all appropriate means and without delay a policy of eliminating racial discrimination in all its forms and promoting understanding among all races, and, to this end..."

Perkara 4 (1) ICERD;

"States Parties condemn all propaganda and all organizations which are based on ideas or theories of superiority of one race or group of persons of one colour or ethnic origin, or which attempt to justify or promote racial hatred and discrimination in any form, and undertake to adopt immediate and positive measures designed to eradicate all incitement to, or acts of, such discrimination..."

Persoalan di sini, adakah kedua-dua klausa ini akan memberikan implikasi terhadap Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan mengenai hak keistimewaan Orang Melayu dan Bumiputra serta sebarang polisi yang menyebelahi hak Bumiputra seperti Dasar Ekonomi Baru?

Tambahan lagi, Perkara 5 (c) ICERD mengenai tiada diskriminasi termasuklah memberikan hak sivil iaitu;

(vii) Hak untuk mengeluarkan pandangan dan beragama.

Klausa ini secara tidak langsung memberi ruang memperkukuhkan kebebasan beragama khususnya isu "decriminalize" murtad yang turut terdapat dalam Perkara 18 ICCPR [2].

Namun, dalam hal ini, tidak dinafikan berlakunya diskriminasi terhadap pekerja Muslim yang telah dilarang mematuhi ajaran agamanya seperti larangan pemakaian menutup aurat di tempat kerja.

Ini adalah sebahagian "substantif argument" terhadap ICERD.

Kebanyakan penulisan yang menyokong ICERD pula berpendirian bahawa Kerajaan terdahulu menggunakan bibit-bibit perkauman sebagai senjata untuk kekal di Putrajaya.

Walau bagaimanapun, mereka juga secara jelas menuntut supaya hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputra seperti yang terkandung dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan berkenaan "Perizaban kuota berkenaan perkhidmatan, permit dsb. bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak", dihapuskan.

Ini dapat dilihat daripada pelbagai penulisan mengenainya. Sesetengah mereka menganggap Perkara 153 adalah "akar kepada sistem rasis" [3]. Malah, ia juga dianggap sebagai "alat politik" sesetengah pihak [4].

Asasnya, tidak keterlaluan jika kita menganggap gesaan meratifikasi ICERD berkait dengan hasrat mereka menghapuskan hak keistimewaan orang Melayu dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Walhal, Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim menjelaskan bahawa mereka yang mempertikai keistimewaan hak Orang Melayu dalam Perkara 153 sebenarnya tidak memahami sejarah panjang yang berlaku serta gagal memahami Perlembagaan itu sendiri. [5]

Tambahan pula, menurut Prof Dr Shamrahayu, Perkara 153 tidak boleh dilihat sebagai kekebalan kepada kaum Melayu semata-mata, bahkan ia adalah untuk mengukuhkan perpaduan, mengelakkan jurang kaum yang besar serta memelihara hak anak-anak negeri Sabah dan Sarawak [6].

Hakikatnya, secara prinsip Malaysia telah memelihara hak semua rakyat yang ada di negara ini sesuai dengan agama, budaya dan adat. Namun, disebabkan wujudkan "ideologi" berkiblatkan hak kebebasan yang dianjurkan Barat, mereka mendesak supaya Malaysia turut tunduk dengan UDHR [7].

Mereka menuduh sesetengah pihak memainkan isu perkauman demi kepentingan tertentu, tetapi merekalah sebenarnya yang telah mengeksploitasi isu perkauman tersebut

Rujukan:
[1] International Convention on the Elimination of All Forms of Racial Discrimination (ICERD).
[2] International Covenant on Civil and Political Rights (ICCPR).
[7] Universal Declaration of Human Rights (1948)
Hafiz Mansor

Subscribe to receive free email updates: