‘Najib perlu failkan kertas kausa jika dakwaan DOJ palsu’ kabarmalay3.blogspot.com

MALAYSIAKINI


Peguam Haniff Khatri Abdulla hari ini mencabar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor supaya memohon untuk mencelah dalam saman sivil yang dikemukakan oleh Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat berkaitan 1MDB.

Dalam satu kenyataan hari ini, Haniff berkata undang-undang jelas membenarkan cabaran ke atas dakwaan DOJ itu jika ia adalah tidak benar, dan sebarang penafian tanpa mencabarnya di mahkamah hanyalah sekadar cakap kosong.

“Pihak yang terjejas akibat daripada mana-mana kenyataan dalam kertas kausa (dokumen mahkamah) DOJ itu, wajib mengambil langkah yang wujud untuk bersihkan namanya melalui peruntukan undang-undang yang sedia ada, terlebih dahulu, sebelum menggesa bahawa tuntutan itu kononnya tidak mempunyai asas,

“Kepada pihak propaganda kerajaan Najib, saya sarankan lagi agar nasihatilah Najib dan Rosmah untuk mengambil langkah-langkah yang wajib dan perlu di sisi undang-undang, sebelum anda keluarkan lagi mana-mana kenyataan lanjut yang salah dan curang, untuk menyelewengkan fakta dan mengelirukan rakyat Malaysia yang prihatin berkaitan hakikat sebenar tindakan sitaan DOJ itu,” katanya.

Beliau berkata, rakyat berhak memaksa kerajaan Najib supaya mengembalikan maruah negara daripada terus dijadikan bahan ketawa oleh negara luar.

Menurutnya, Najib perlu mengambil segala langkah yang dibenarkan di sisi undang-undang di mahkamah, supaya rakyat boleh mempercayai kenyataan-kenyataan kerajaan yang setakat ini berbentuk omong-omong kosong sahaja.

Haniff mengulas kenyataan anggota panel penasihat Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Tun Faisal Ismail Aziz semalam, yang berkata, tidak ada bukti bahawa ‘isteri Malaysian Official 1' (MO1) menerima atau menyimpan set barangan kemas seperti yang didakwa itu.

Tun Faisal mahupun DOJ, masing-masing tidak menamakan Najib dan Rosmah.

Sebaliknya, masing-masing merujuk kepada "Malaysian Official 1" dan "Isteri Malaysian Official 1" walaupun ramai, termasuk Haniff dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan mengesahkan Najib sebagai MO1.

Najib dan Rosmah, sebelum ini berulang-kali menafikan salah laku.
Dalam kenyataannya semalam, Tun Faisal berkata tuduhan isteri MO1 menerima set barangan kemas itu hanyalah sekadar "cerita" dalam aduan yang dibuat kepada DOJ.

Malah, katanya, DOJ juga tidak menyenaraikan set barangan kemas itu sebagai aset yang mahu dirampasnya yang membuktikan jabatan itu sendiri tidak pasti mengenai kebenaran cerita pengadu berkenaan barangan kemas itu dan dakwaan terhadap isteri MO1.

Walau bagaimanapun, Haniff berkata adalah perkara biasa bagi mana-mana tindakan mahkamah - sama ada sivil atau jenayah - untuk pihak membuat tuntutan memfailkan kertas kausa, yang akan membutirkan asas tuntutan serta fakta berkaitan yang akan dibuktikan kelak.

“Walhal, dalam kes jenayah substantif sekalipun, apabila seseorang itu dituduh di Mahkamah sekalipun, kertas pertuduhan (yang pada kebiasaannya tidak melebihi dua (2) mukasurat untuk setiap pertuduhan), cuma akan mengandungi nama tertuduh, fakta asas yang didakwa sebagai jenayah yang dilakukan, berserta peruntukan Akta yang menjadikan perbuatan itu sebagai Jenayah (contoh : Seksyen 302 Kanun Kesekaan ataupun Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya).

“Apabila pihak yang disaman dalam kes sivi mahupun kes quasi jenayah memilih untuk tidak bersetuju dengan tuntutan itu, dan setelah pihak yang disaman diberi peluang failkan kertas kausa oleh yang disaman, mahkamah akan menetapkan tarikh bicara, sama ada melalui panggilan saksi ataupun melalui Afidavit (Surat Sumpah)(dan tertakluk kepada tatacara pebicaraan mahkamah di negara terbabit), maka cuma di tahap perbicaraan inilah baru semua pihak diwajibkan untuk tampilkan bukti,” katanya.

“Justeru, hakikat sebenar asas undang-undang yang kedua adalah: Bukti mana-mana tuntutan, di mana-mana mahkamah, di mana-mana negara bertamaddun, tidak langsung difailkan bersama kertas kausa pada masa tuntutan mula-mula difailkan, sama-sekali, dan tidak akan didedahkan di dalam keempat-empat penjuru dokumen tuntutan asal itu, melainkan rentetan fakta yang membutirkan dengan terperinci akan tuntutan itu sahaja,” katanya.

Subscribe to receive free email updates: