Kit Siang: Daripada Sasar 5 Negeri, Baik Tumpu "Pertahan" Kelantan ! kabarmalay3.blogspot.com


PETALING JAYA: Lim Kit Siang berkata, pengalaman PAS kehilangan Terengganu pada 2004 di bawah kepimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang mungkin berulang di Kelantan pada pilihan raya umum akan datang. 

Bercakap pada “Jelajah Desa bersama Lim Kit Siang di Pantai Timur”, penasihat DAP itu berkata, Hadi yang dilantik sebagai menteri besar Terengganu dari 1999 sehingga 2004, perlu bersedia menghadapi kemungkinan itu, bukannya menyasarkan untuk menawan negeri lain. 

“Hadi menyekat mana-mana usaha (untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan) bagi mendedahkan skandal pengubahan wang 1MDB antarabangsa kerana beliau tidak nampak sebarang kesalahan atau perbuatan memalukan mengenai skandal 1MDB. 

“Adakah kepimpinan Hadi akan menyebabkan PAS kehilangan Kelantan, dalam cara sama yang tidak memalukan Hadi kehilangan Terengganu pada pilihan raya umum 2004,” kata ahli Parlimen Gelang Patah itu dalam sebuah sesi dialog di Kemaman, malam tadi. 

Lim menyifatkan sasaran Hadi untuk PAS menawan 5 negeri pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) “sukar dicapai”. “Di bawah kepimpinan Hadi, PAS tidak akan dapat memenangi 5 negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Kedah dan Selangor pada PRU14. Sebaliknya, ia akan menjadi perjuangan dalam kehidupan politiknya sama ada ia dapat mengekalkan kuasa di Kelantan yang ditawannya sejak 1990.”

Katanya, PAS memenangi Kelantan disebabkan kepimpinan Datuk Nik Aziz Nik Mat yang meninggal dunia pada Februari 2015. Semalam, PAS menolak pelawaan Pakatan Harapan untuk bersama gabungan itu memastikan mereka yang dituduh melesapkan dana 1MDB dibawa ke muka pengadilan dan berkata, PAS bukan sebuah parti yang terpengaruh dengan pihak asing. 

“Pakatan Harapan hari ini musuh kepada PAS dan mereka juga menuduh PAS kononnya mendapat duit daripada Umno dan sebagainya. “PAS ada cara kita sendiri, kita tidak bersama Barisan Nasional (BN) dan kita tidak bersama Pakatan Harapan, kita bawa cara kita dan kita bertindak tidak mengikut cara orang melibatkan isu 1MDB,” kata Ahli Jawatankuasa Kerja PAS, Datuk Khairuddin Aman Razali. 

Semalam, Pakatan Harapan mendesak kerajaan memanggil sidang tergempar Dewan Rakyat bagi menjawab tuduhan yang terkandung dalam saman sivil Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) bagi menyita aset lebih RM2.3 bilion di negara itu, yang didakwa dibiayai wang diseleweng daripada 1MDB. 

Gabungan 4 parti itu turut mengumumkan siri jelajah seluruh negara bermula 6 Julai ini di Kepala Batas, Pulau Pinang, bagi menjelaskan kepada orang ramai tuduhan DoJ itu, yang sebelum ini disifatkan pemimpin kerajaan sebagai agenda politik.  #sumber

Subscribe to receive free email updates: